
Presiden Persatuan Sino Kadazan Dusun Murut Sabah Johnny Goh berkata pembekuan pengeluaran sijil anak negeri pada 1982 itu menyukarkan kehidupan masyarakat Sino-KDM, atau anak negeri Sino.
“Ini sudah terlalu lama berlarutan,” katanya kepada FMT.
“Sabah adalah yang pertama (sebelum Sarawak) memberikan status anak negeri bagi anak hasil perkahwinan campur, tetapi penggantungan itu sedikit sebanyak meletakkan kami ‘terkebelakang’.
“Saya menggesa kerajaan Sabah mempertimbangkan untuk menarik balik penggantungan itu selepas langkah Sarawak mengiktiraf anak hasil perkahwinan campur sebagai anak negeri.”
Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick juga menggesa kerajaan negeri untuk mencontohi Sarawak, sambil menambah bahawa beliau sentiasa menegaskan bahawa Sino-KDM adalah anak negeri.
“Jadikan anak-anak hasil perkahwinan campur antara orang Cina Sabah dengan mana-mana anak negeri sebagai automatik,” kata Naib Presiden Upko itu kepada FMT.
Awal bulan ini, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-undang Tafsiran (Pindaan) 2022, yang antara lain akan menganggap anak hasil perkahwinan campur sebagai anak negeri walaupun hanya salah seorang daripada ibu bapa kanak-kanak itu adalah anak negeri.
Syarat sebelum ini adalah kedua-dua ibu bapa mestilah anak negeri Sarawak.
Di bawah peruntukan khas yang diluluskan oleh Tunku Abdul Rahman semasa beliau menjadi Perdana Menteri, seseorang yang dikenali sebagai komuniti Sino-KDM boleh menuntut status anak negeri jika individu itu adalah anak kepada salah seorang ibu bapa berasal dari Sabah dan hidup sebagai penduduk asal.
Sijil anak negeri membolehkan pemegangnya menikmati hak istimewa Bumiputera Sabah seperti memperoleh tanah, membuka akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB), serta memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) menghentikan pengeluaran sijil itu selepas mendapati mereka yang bukan orang asli Sabah mendapatkan sijil itu menerusi penipuan untuk memperoleh tanah asal dan faedah Bumiputera yang lain.
Mendiang Liew Vui Keong, ketika menjadi Menteri Undang-Undang semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH), berkata kerajaan persekutuan merancang untuk mengkaji semula pembekuan pengeluaran sijil anak negeri. Bagaimanapun, tiada perkembangan lanjut sehingga kerajaan PH jatuh pada 2020.