VTL darat dapat dilaksanakan sebelum Hari Raya, kata PM

VTL darat dapat dilaksanakan sebelum Hari Raya, kata PM

Kementerian Kesihatan akan memperinci beberapa cadangan untuk pelaksanaan VTL Malaysia dengan negara-negara jiran termasuk Singapura, Thailand dan Brunei.

Ismail Sabri Yaakob berkata, VTL darat, khususnya Thailand dan Malaysia penting kerana ia bukan sahaja melibatkan pelancongan namun turut melihatkan perdagangan dua hala, khususnya perdagangan sempadan yang menyumbang 50 peratus dari jumlah dagangan Malaysia-Thailand berjumlah USD10.5 bilion. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yakin Malaysia dapat melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat sebelum Mei tahun ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperinci beberapa cadangan untuk pelaksanaan VTL Malaysia dengan negara-negara jiran termasuk Singapura, Thailand dan Brunei.

“Pelaksanaan VTL udara agak mudah berbanding VTL darat di mana bagi pengembara yang tiba di lapangan terbang, saringan boleh dilakukan segera. Namun begitu, saringan di pintu masuk darat, kita perlu mengelak barisan panjang kenderaan.

“Kita telah memberikan beberapa cadangan kepada Kementerian Kesihatan agar mencari kaedah terbaik untuk mempermudahkan dan mempercepatkan pelaksanaan VTL darat. Saya menegaskan perkara ini dapat diselesaikan sebelum Hari Raya (tahun ini),” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.

Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata VTL darat, khususnya Thailand dan Malaysia penting kerana ia bukan sahaja melibatkan pelancongan namun turut melihatkan perdagangan dua hala, khususnya perdagangan sempadan yang menyumbang 50 peratus dari jumlah dagangan Malaysia-Thailand berjumlah USD10.5 bilion.

Selain itu, beliau berkata VTL darat Malaysia dan Singapura serta Malaysia dan Brunei penting untuk pergerakan rakyat negara-negara tersebut.

“Hampir 200,000 pekerja Malaysia yang ulang-alik Malaysia dan Singapura. Selain itu, di sempadan Malaysia dan Brunei, mereka di Limbang dan Lawas perlu melalui Brunei. Sehingga hari ini, mereka belum boleh merentas sempadan,” katanya.

Semalam, Ismail dan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mengadakan pertemuan dan perbincangan sempena lawatan rasmi julung kali beliau ke Thailand.

Malaysia dan Thailand bersetuju secara dasar untuk melaksanakan VTL udara, darat dan laut bagi memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

Ketika perjumpaan dengan Prayuth, Ismail berkata kementerian dan agensi berkaitan akan mengadakan perbincangan bagi memperincikan prosedur operasi standard berkaitan bagi membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui VTL bagi pihak Malaysia dan ‘Test & Go’ bagi pihak Thailand.

Sementara itu, Ismail berkata Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 masing-masing – MySejahtera (Malaysia) dan Mor Prom (Thailand) untuk menyokong usaha-usaha pembukaan semula sempadan kedua-dua negara.

“Kita juga akan susuli dengan pengiktirafan sijil vaksin digital dan integrasi dua aplikasi MySejahtera dan Mor Prom bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.