Serah pucuk pimpinan tentu calon MB PN, Sahruddin yakin kekalkan Bukit Kepong

Serah pucuk pimpinan tentu calon MB PN, Sahruddin yakin kekalkan Bukit Kepong

Bekas Menteri Besar itu berkata keutamaannya adalah memastikan kemenangan PN bagi menawan Johor.

Calon Perikatan Nasional (PN) Sahruddin Jamal tiba di pusat penamaan calon pada 8.36 pagi tadi.
PAGOH:
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti menentukan siapa bakal diangkat sebagai Menteri Besar jika gabungan itu memenangi pilihan raya negeri (PRN) Johor bulan depan.

Katanya, beliau hanya ahli parti dan usaha memenangkan PN menjadi keutamaan.

“Setakat ini belum diumumkan (calon MB dari PN) dan saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk memilih sesiapun pun, saya hanya ahli parti, saya akan pastikan parti saya PN memenangi dahulu PRN Johor,” kata bekas MB itu kepada pemberita selepas hadir menyerahkan borang pencalonan di Dewan Karisma Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Pagoh.

Ditanya persaingan bakal dihadapinya bagi mengekalkan kemenangan di Bukit Kepong, katanya, beliau yakin akan memenangi pilihan raya kali ini selepas empat tahun rekod berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Saya cukup yakin bahawa saya akan memenangi dan mengekalkan DUN Bukit Kepong, atas beberapa faktor.

“Saya berjaya membawa pembangunan di Bukit Kepong serta perhubungan baik antara saya dengan Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin yang banyak bantu, mendidik serta memudahkan gerak kerja di sini.

“…dengan pengalaman saya sebagai Menteri Besar, pengalaman Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, saya yakin bahawa jika kami diberi amanah menerajui Johor kita akan membentuk kerajaan yang berjaya,” katanya.

Sahruddin akan ditentang calon daripada BN iaitu Ismail Mohamad dan MUDA diwakili Nurafiqah M.Zulkifli selain seorang lagi calon Pejuang, Md Taib Md Suhut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.