MySejahtera menyusahkan, pengguna keluh status vaksin tak dikemaskini

MySejahtera menyusahkan, pengguna keluh status vaksin tak dikemaskini

Beberapa pengguna menyuarakan keluhan apabila status dan sijil vaksinasi tidak dikemaskini di aplikasi MySejahtera hingga menjejaskan aktiviti mereka termasuk urusan ke Tanah Suci.

Sapiah Zakaria, 67, menunjukkan status vaksinasinya yang masih belum dikemaskini dalam aplikasi MySejahtera dan menyukarkan urusan untuk ke Tanah Suci.
PETALING JAYA:
Seorang warga emas hanya mampu mengeluh apabila status dan sijil vaksinasinya masih tidak dikemaskini di aplikasi MySejahtera sejak tahun lalu, sekali gus menyukarkan urusan hariannya.

Sapiah Zakaria, 67, bakal berangkat ke Tanah Suci pada Mac ini untuk mengerjakan umrah namun masalah itu menyebabkan urusannya tergendala walaupun telah lengkap menerima dos pertama, kedua dan penggalak.

“Lama makcik menunggu, masih tiada lagi sijil vaksin. Agensi umrah sudah minta sijil vaksin. Makcik cuma ada kad vaksin dan mereka pun sedang mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikannya,” katanya kepada FMT.

Suri rumah itu berkata, anaknya telah beberapa kali membuat laporan di meja bantuan MySejahtera dan dua kali berurusan di kaunter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) namun masih tiada sebarang tindakan.

“Makcik terpaksa minta anak mengambil cuti untuk selesaikan masalah sijil. Apabila ke sana, mereka memberi jawapan sama iaitu ingin menghubungi makcik semula namun hingga kini tiada sebarang perkembangan,” keluhnya.

Seorang peniaga, yang hanya mahu dikenali Syarifah, 39, turut mengalami masalah sama dan sukar menjalankan urusan harian kerana status vaksin dalam aplikasi itu tidak dikemaskini.

“Kadangkala saya terlupa membawa kad vaksin dan tidak dapat masuk ke kedai jika pekerjanya memeriksa status vaksinasi. Saya terpaksa pulang semula ke rumah untuk mengambil kad itu,” katanya.

Dia yang menetap di Sungkai, Perak bercadang untuk merujuk masalah itu di meja bantuan MySejahtera di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) supaya masalah dapat diselesaikan segera.

“Saya sudah naik jemu untuk merujuk meja bantuan secara dalam talian kerana walaupun sudah banyak kali mencuba namun keadaan tetap sama. Sekiranya kad vaksin ini hilang, ia memang menjadi masalah.”

Keluhan sama turut disuarakan di Twitter apabila ada pengguna MySejahtera memaklumkan beberapa maklumat seperti status kontak rapat, kuarantin, butiran peribadi, temujanji vaksin masih belum dikemaskini.

“Kenapa status vaksin di Mysejahtera saya hilang? Laporan dah buat, harga sistem ‘puluh ribu’ takkan hal kecil nak kena ‘walk-in’,” kata pengguna dengan nama @Mddox6.

Manakala pengguna dengan nama @Faddyyllaa pula berkata, dia sudah ke meja bantuan fizikal sebanyak dua kali namun mereka telah kehabisan nombor giliran dan berharap status vaksinasi itu dapat dikemaskini segera supaya tidak ada masalah untuk menaiki pesawat nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.