Malaysia-Thai setuju laksana kajian bina HSR laluan KL-Bangkok

Malaysia-Thai setuju laksana kajian bina HSR laluan KL-Bangkok

Perdana Menteri berkata beliau akan mengarahkan kementerian dan jabatan berkaitan untuk mengambil tindakan segera bagi memulakan kajian berkenaan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya, Prayuth Chan-o-cha, secara dasar bersetuju melaksanakan kajian kebolehlaksanaan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) bagi laluan Kuala Lumpur-Bangkok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Thailand dan Malaysia bersetuju untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) bagi laluan Kuala Lumpur-Bangkok, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke negara Gajah Putih itu, Ismail berkata beliau akan mengarahkan kementerian dan jabatan berkaitan untuk mengambil tindakan segera bagi memulakan kajian berkenaan.

“Kita bincang mengenai keperluan untuk masa depan dalam membina kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Bangkok dan kami setuju supaya kedua-dua negara menjalankan kajian kebolehlaksanaan.

“Kita akan minta kementerian dan jabatan berkaitan untuk ambil tindakan segera,” katanya pada sidang media yang turut disiarkan di Facebooknya.

Ismail berkata persetujuan itu dicapai hasil pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha di Rumah Kerajaan, petang semalam dalam lawatan kerja kali pertama beliau sebagai Perdana Menteri ke negara jiran itu.

Pada 1 Januari lalu, Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama mengumumkan projek HSR sepanjang 350km ditamatkan apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Dis lalu.

Susulan pembatalan projek itu, Malaysia membayar RM320,270,519.24 kepada Singapura sebagai pampasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed dan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung dalam satu kenyataan bersama berkata, jumlah pampasan itu dipersetujui kedua-dua negara.

Kerajaan kemudian mengumumkan kajian kebolehlaksanaan bagi laluan Kuala Lumpur dengan Iskandar Puteri di Johor, menggantikan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura yang dirancang sebelum ini.

Bagaimanapun, beberapa pakar pengangkutan menjangkakan kerugian besar dalam jangka panjang jika projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.