Isu rumah terbengkalai dorong calon BN Bukit Kepong kembali bertanding

Isu rumah terbengkalai dorong calon BN Bukit Kepong kembali bertanding

Ismail Mohamad berkata beliau kecewa melihat projek perumahan yang dibangunkan zaman BN, tergendala begitu saja sebaik Pakatan Harapan (PH) mengambil alih.

Calon BN Ismail Mohamad bagi kerusi DUN Bukit Kepong tiba di pusat penamaan calon pada 8.41 pagi.
PAGOH:
Isu rumah terbengkalai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong menjadi faktor mendorong calon Barisan Nasional (BN) Ismail Mohamad untuk kembali bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Beliau sebelum ini merupakan bekas ADUN Bukit Serampang dan kini dikenali sebagai DUN Bukit Kepong.

Katanya, beliau kecewa melihat projek perumahan yang dibangunkan ketika zaman BN, tergendala begitu saja sebaik Pakatan Harapan (PH) mengambil alih.

“Saya ingin meneruskan usaha-usaha yang pernah dilakukan di Bukit Kepong. Banyak projek-projek yang saya lihat, pembangunan modal insan, perumahan, program bantuan untuk orang miskin yang sepatutnya telah siap dibina nampaknya terbengkalai.

“Jadi, saya perlu kembali berkhidmat di DUN Bukit Kepong,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan kertas penamaan calon di Dewan Karisma Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh, pagi tadi.

Beliau mengakui, kehadiran pemimpin Umno, Najib Razak dilihat sebagai satu sokongan moral buatnya untuk kembali merampas kerusi DUN Bukit Kepong.

Selain itu, Ismail berkata, beliau ingin membantu masyarakat FELCRA kerana usaha itu dilihat terbantut ketika pentadbiran PH sebelum ini

Mengenai pertembungan dengan bekas Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal, Ismail berkata beliau dan Sahruddin mempunyai pengalaman masing-masing dan ia terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian.

“Kita serah kepada pengundi kerana kami sama-sama ada pengalaman bertanding,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.