Hasni hadapi pertembungan 4 penjuru

Hasni hadapi pertembungan 4 penjuru

Calon BN itu akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Calon Barisan Nasional, Hasni Mohammad ditemui pemberita selepas pengumuman calon PRN Johor untuk kerusi DUN Benut.
PONTIAN:
Ketua Barisan Nasional (BN) Johor dan Menteri Besar ‘caretaker’ Hasni Mohammad akan berdepan pertembungan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut.

Hasni yang juga Ketua Umno Johor akan mempertahankan kerusi DUN itu untuk penggal keempat selepas kali pertama dimenanginya pada 2008.

Beliau adalah calon Menteri Besar BN bagi pilihan raya itu.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Hasni memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,447, menewaskan pencabar dari Bersatu dan PAS.

Kali ini, kerusi itu akan ditandingi oleh Senator Dewan Negara dari Bersatu, Isa Ab Hamid, Hanif Ghazali Hosman dari PKR dan Iskandar Noor Ibrahim dari Pejuang.

Isa tiba paling awal di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Benut jam 8.15 pagi tadi, diiringi pencadang dan penyokongnya.

Kemudian, Iskandar pula tiba pada 8.25 pagi dengan menaiki Proton Wira bersama isteri. Hanif tiba pada 8.55 pagi dengan beberapa penyokongnya dari jauh.

Hasni tiba pada 9.05 pagi bersama pencadang dan penyokongnya.

Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kerusi itu, Rafi Abdullah, mengesahkan pencalonan mereka pada 10.45 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.