
Ia susulan notis penerangan keselamatan (SI) bilangan 6/2022 yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), hari ini.
SI itu yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutifnya Chester Voo Chee Soon, juga merujuk makluman diterbitkan oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA).
“Berdasarkan hebahan badan di bawah Kesatuan Eropah (EU) itu, peringatan ini turut sama meliputi Moldova dan sebahagian ruang wilayah Rostov, Rusia,” katanya menurut laporan Kosmo.
Penerbitan SI tersebut bagi meningkatkan kesedaran kepada semua juruterbang dan operator udara mengenai situasi tegang dan peningkatan aktiviti ketenteraan dalam kawasan terbabit.
Katanya, bermula dengan serta-merta, SI baharu itu akan membatalkan nota lama bilangan 17/2021 yang pernah diterbitkan oleh pihak CAAM pada 26 Nov tahun lalu.
Langkah berwaspada tahap tinggi itu, katanya, turut selaras makluman diterima daripada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), baru-baru ini, daripada pihak Ukraine.
Chester berkata, negara berkenaan pada Khamis lalu telah bertindak menutup sistem wilayah maklumat penerbangan (FIR) dan menerbitkan Notis Juruterbang (Notam) UKBV A0576/22.
Katanya, penutupan tersebut meliputi kawasan pesawat awam terbang dalam FIR bagi Dnipro (UKDV), Simferopol (UKFV), Lviv UKLV), Odesa (UKOV) dan ibu negaranya, Kyiv (UKBV).
“Notam URRV U0104/22 juga dikeluarkan pihak berkuasa Rusia bagi FIR Rostov manakala negara jiran Ukraine, Moldova juga menerbitkan Notam LUUU A0043/22,” katanya.
Sehubungan itu, semua pengendali pesawat digesa mengambil peringatan amat tinggi apabila melalui kawasan berhampiran dan menyemak semula segala pelan kontigensi penerbangan.
Beliau turut menasihatkan juruterbang mengekalkan hubungan komunikasi dengan pusat kawalan trafik udara dan memantau rapat segala arahan mereka dari semasa ke semasa.
ICAO juga kata Chester, akan menyelaraskan secara aktif dengan pihak berkuasa penerbangan awam di FIR berdekatan untuk memastikan pesawat melalui kawasan yang lebih selamat.
CAAM turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan menerbitkan maklumat terkini kepada semua pemegang taruh, sekiranya terdapat perkembangan baharu di kawasan terlibat.