
Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, gegaran gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter itu turut dirasai di sekitar Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Pusat gempa bumi tersebut terletak 0.2° Utara dan 100.0° Timur dengan kedalaman 10km, 76km di barat laut Payakumbuh, Indonesia.
“Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, beberapa bangunan di sekitar Lembah Klang turut merasai gegaran berkenaan dengan semua kakitangan bergegas keluar untuk tujuan keselamatan.
Kakitangan Bernama, Perpustakaan Negara dan bangunan berhampiran keluar dari premis masing-masing selepas memaklumkan gegaran berlaku selama kira-kira 5 minit.

Penduduk Lembah Klang panik rasa gegaran
Difahamkan, gegaran turut dirasai di Batu Caves, Kuala Selangor, Pelabuhan Klang, Putrajaya, Petaling Jaya dan beberapa kawasan lain.
Penduduk di Puncak Alam, Nasuha Badrul Huzaini berkata, dia bersama anaknya sedang makan dan keadaan menjadi panik apabila beberapa perabot di rumah bergerak dengan sendiri dan pada masa sama gegaran turut dirasai dalam beberapa saat.
“Keadaan tiba-tiba jadi panik, saya ingat rumah nak runtuh. Bila keluar rumah, saya lihat ramai jiran sudah berada di luar rumah dan memberitahu mereka turut merasai gegaran yang sama.
“Selepas hampir 10 minit, kami masuk masuk semula ke rumah selepas rasa semuanya selamat,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, seorang penduduk Shah Alam yang hanya mahu dikenali sebagai Laiyyinah berkata, dia baru saja memasuki kereta untuk ke tempat kerja ketika merasai gegaran itu.
“Tiba-tiba kereta saya bergoyang beberapa saat, saya ingat ada orang goyang kereta saya,” katanya yang pertama kali merasai gegaran gempa seperti itu.
Gegaran turut dirasai di Petaling Jaya dengan pekerja di beberapa bangunan pejabat di kawasan itu dilihat berkumpul di luar bangunan untuk pemantauan keselamatan.