‘Saya beri kerjasama penuh’, kata Rohana selepas dipanggil SPRM

‘Saya beri kerjasama penuh’, kata Rohana selepas dipanggil SPRM

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro itu disoal siasat SPRM lebih lapan jam, semalam.

Rohana Rozhan disiasat SPRM susulan pendedahan bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner dalam kes 1MDB di Mahkamah New York, pada Isnin.
PETALING JAYA:
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Rohana Rozhan mengesahkan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut susulan pendedahan terbaru berkait 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam kenyataan dikeluarkan melalui firma guaman, Tetuan Valen, Oh & Partners, Rohana menjelaskan, beliau sedia memberikan kerjasama penuh dalam siasatan dijalankan.

“Saya merujuk kepada dakwaan yang muncul di media tentang saya. Saya telah hadir di pejabat SPRM dan memberi kerjasama penuh dalam siasatan mereka,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau dipercayai dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pendedahan bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs Tim Leissner dalam kes 1MDB, di Mahkamah New York, pada Isnin.

Rohana Rozhan.

Ia berkaitan pembelian sebuah rumah di London bernilai lebih USD10 juta (RM41.8 juta) pada 2013 untuk Rohana.

Leissner memberikan keterangan itu semasa menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng.

Menerusi keterangan dilaporkan Bloomberg itu, Leissner mendedahkan bahawa pembelian rumah untuk Rohana dibuat selepas dia diugut oleh kekasih sulitnya itu untuk mendedahkan berkenaan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Leissner turut memaklumkan di mahkamah bahawa hubungan bersama Rohana terjalin bermula 2003 hingga 2013.

Pada 2018 Leissner mengaku bersalah kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang anti rasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.

Sementara itu, menurut laporan Berita Harian, Rohana disoal siasat lebih lapan jam, semalam, dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, mengesahkan perkara berkenaan.

Memetik sumber, perkembangan siasatan berhubung kes itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan Rohana akan dipanggil semula jika dia perlu berbuat demikian.

“Dia dipanggil bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

“Siasatan terhadapnya selesai pada 6 petang pada hari sama (semalam),” kata laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.