
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, berdasarkan pelaporan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), sejumlah 90% daripada mereka yang hadir ke CAC adalah untuk tujuan discaj daripada HSO kerana terdapat pesakit atau majikan yang mendesak untuk mendapatkan notis secara bertulis.
Beliau berkata, 30 hingga 50% kes yang hadir ke CAC bukan untuk penilaian bagi kes yang merosot semasa menjalani pemantauan di rumah.
“Hal yang sedemikian menyebabkan penambahan beban tugas di CAC, iaitu fokus petugas kesihatan adalah kepada aspek penilaian dan perawatan kes yang memerlukan perhatian khusus.
“Oleh yang demikian, semua majikan diseru supaya peka terhadap perkara ini dan menerima sijil digital HSO dan RO yang dikemukakan serta tidak lagi mendesak pekerja mendapatkan pengesahan daripada CAC,” katanya.
Mengenai penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 di hospital, Hisham berkata, enam negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50%, iaitu Kelantan (86% ), Johor (59%), Labuan (57%), Kuala Lumpur (54%), Sabah (52%) dan Melaka 50%.
Merujuk kes positif Covid-19 yang dicatatkan semalam, beliau berkata, 32,070 kes direkodkan dengan 99.4% atau 31,890 kes dalam Kategori 1 dan 2, manakala 180 kes atau 0.56% merupakan kes Kategori 3, 4 dan 5.
Katanya, sebanyak 23,332 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 3,018,172.