
JPS memaklumkan di Kelantan, kawasan diramal banjir adalah di Lembangan Sungai Kelantan melibatkan daerah Kuala Krai dan Tanah Merah serta kawasan di sekitarnya.
Selain itu, banjir juga diramal berlaku di Terengganu di kawasan Lembangan Sungai Besut melibatkan daerah Besut; Lembangan Sungai Kemaman membabitkan daerah Kemaman; Lembangan Sungai Setiu (daerah Setiu); Lembangan Sungai Terengganu (daerah Hulu Terengganu) serta kawasan sekitar.
“Penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
Maklumat dan amaran semasa boleh diakses menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my, media sosial Facebook PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.
Sementara itu, sistem cuaca tekanan rendah dijangka melanda sempadan negeri Pahang dan Terengganu malam ini (25 Feb) seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang.
Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata, hujan lebat berterusan dan angin kencang dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung hingga 26 Feb (esok), namun ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem itu untuk meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah.
“Pada masa sama, luruan monsun sedang berlaku dan MET Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan (Bahaya, Buruk dan Waspada) untuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan berkuat kuasa hingga 26 Feb (esok),” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam di kawasan terlibat supaya lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobile myCuaca atau hubungi talian hotline MetMalaysia.