Jho Low, Goldman Sachs berkomplot dapatkan jaminan USD3.5 bilion untuk 1MDB, mahkamah diberitahu

Jho Low, Goldman Sachs berkomplot dapatkan jaminan USD3.5 bilion untuk 1MDB, mahkamah diberitahu

Pendedahan ini dibuat bekas pegawai bank Goldman, Tim Leissner, pada perbicaraan 1MDB Roger Ng di mahkamah AS.

PETALING JAYA:
Sebuah mahkamah Amerika Syarikat mendengar bagaimana ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan eksekutif Goldman Sachs merancang untuk mendapatkan firma milik kerajaan di Abu Dhabi menjamin pinjaman 1MDB.

Pendedahan itu dibuat oleh bekas pegawai bank Goldman, Tim Leissner, selepas kerajaan Malaysia tidak akan memberi jaminan kedua kepada 1MDB.

Leissner, 52, adalah saksi utama dalam perbicaraan membabitkan Roger Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat FMT, Leissner disoal mengenai mesyuarat yang disertainya bersama Ng, Low dan Andrea Vella, salah seorang pegawai pelaburan paling kanan Goldman di Asia pada masa itu.

“Ia adalah permulaan bagaimana kami merancang struktur berhubung cara untuk membiayai 1MDB di pasaran antarabangsa. Soalan pertama Vella kepada Low: Bolehkah kerajaan Malaysia memberi satu lagi jaminan kepada 1MDB?

“Dalam pembiayaan sebelum ini, yang berjaya mengumpul dana sebanyak USD1.25 bilion untuk 1MDB dalam pasaran terbuka, wujud jaminan kerajaan,” katanya.

Menurut Leissner, Low kemudian berkata, beliau difahamkan bahawa tiada lagi jaminan yang akan diberikan.

“Kami telah cuba selama beberapa tahun dan setiap kali, mereka berkata tidak, jadi jangan berharap.”

Vella kemudian bertanya siapakah lagi yang boleh memberi jaminan kepada 1MDB kerana ia tidak mempunyai kekuatan kredit untuk mengumpul berbilion dolar.

Kata Leissner dalam keterangannya, Low mencadangkan dana kerajaan Abu Dhabi, iaitu Aabar Investments PJS, yang menurut Vella, turut tidak mempunyai kekuatan kredit.

Vella kemudiannya mencadangkan syarikat induk Aabar, iaitu International Petroleum Investment Co (IPIC) yang mempunyai penarafan kredit yang sangat baik.

“Jadi menurut pandangan Andrea, IPIC adalah entiti yang tepat untuk dirujuk bagi mendapatkan jaminan di Abu Dhabi,” kata Leissner.

“Jho menjawab, beliau mengenali Pengerusi IPIC Sheikh Mansour dan CEO IPIC Khadem al-Qubaisi dan akan menyemak perkara itu.

“Memandangkan beliau ada hubungan dengan dua individu itu, maka beliau percaya mungkin boleh dapatkan induk itu menerusi IPIC.”

Leissner berkata, hasil mesyuarat itu, mereka menemui jalan untuk mendapatkan IPIC untuk menjamin pinjaman 1MDB.

IPIC kemudiannya menjamin dua peringkat bon bernilai USD1.75 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB. Sebagai balasan, 1MDB memindahkan kira-kira USD2.08 bilion dalam tempoh dua tahun serta deposit keselamatan USD1.4 bilion kepada sebuah syarikat yang berdaftar di Kepulauan Virgin British bernama Aabar Investments PJS Ltd (Aabar BVI).

Selepas itu, IPIC berkata, Aabar BVI “bukan entiti” dalam kumpulan korporat IPIC dan ia maupun Aabar tidak menerima sebarang wang daripada 1MDB. Didedahkan kemudian bahawa Aabar BVI adalah syarikat yang diperbadankan oleh Low.

‘Tak terima kurang USD100 juta’

Menurut Bloomberg, Leissner berkata, Low memberitahunya bahawa Sheikh Mansour tidak akan menerima kurang daripada USD100 juta. Sheikh Mansour tidak dituduh atas sebarang salah laku oleh AS.

Leissner menceritakan mengenai satu mesyuarat yang dihadirinya dengan Ng dan Low di rumah ahli perniagaan itu di kawasan Mayfair di London pada 2012 tidak lama sebelum Goldman memberi kelulusan bagi kerja-kerja berkaitan 1MDB dan mengumpul USD1.75 billion untuk 1MDB.

Pada mesyuarat itu katanya, Low mengeluarkan sekeping kertas dan “mula melukis kotak-kotak”. Di satu muka surat, terdapat beberapa kotak mewakili pegawai Malaysia yang perlu disogok dan di muka surat sebelah lagi, kotak untuk pegawai Abu Dhabi.

Menurutnya, Low berkata, di peringkat atasan, bayaran kepada pihak Malaysia dan Abu Dhabi “mesti sama dan dianggap sama”.

“Dalam fikiran saya, itu bermakna kedua-dua pihak perlu mendapat USD100 juta,” kata Leissner dalam keterangannya.

“Saya tidak boleh kata saya terkejut.” katanya selain menambah bahawa pengalamannya bekerja bertahun-tahun bekerja dalam pasaran memuncul mengajarnya bahawa rasuah dan sogokan kadangkala dikaitkan dengan projek membabitkan pegawai kerajaan.

Pada akhir pembentangannya, menurut Leissner, Low berkata, Leissner dan Ng juga akan “dijaga”.

“Saya sudah tentu gembira kerana akan meraih wang tambahan,” katanya kepada para juri.

“Saya mahu memperoleh lebih banyak wang, walaupun gaji saya tinggi di Goldman Sachs.”

Katanya, selepas mesyuarat itu, dia dan Ng berjalan pulang ke hotelnya.

Dalam perjalanan katanya, mereka bersetuju tidak akan menyebut apa-apa “tentang bayaran itu” kepada sesiapa di dalam atau luar Goldman Sachs kecuali mereka yang turut sama menghadiri mesyuarat itu.

“Sogokan perlu dibayar untuk merealisasikannya, tetapi kami menyimpan (rahsia ini) hanya antara kami berdua,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.