Dicemuh minta bantuan JKM untuk ibu terlantar, ‘Kak Yana’ rayu warganet henti kecaman

Dicemuh minta bantuan JKM untuk ibu terlantar, ‘Kak Yana’ rayu warganet henti kecaman

Selepas video 'Kak Yana' tular, JKM luluskan bantuan RM500 sebulan.

Ibu Diwiyana Mohamed, Selamah Hamid, lumpuh separuh badan selepas diserang angin ahmar enam tahun lepas. (Gambar Diwiyana Mohammed)
PETALING JAYA:
Diwiyana Mohammed yang meluahkan rasa kecewa terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak kerana sekian lama enggan meluluskan bantuan untuk ibunya yang terlantar, meminta warganet menghentikan serangan ke atasnya selepas klip video luahannya itu tular.

Beliau yang menyara enam anak dengan menjual burger bersama suaminya berkata, dia terpaksa menggunakan media sosial untuk mengangkat masalahnya kerana buntu mencari wang untuk penjagaan ibunya.

Selasa lalu, video Tik Tok Diwiyana tular dan meraih tontonan sehingga 1 juta. Dalam video itu dia menyatakan rasa terkilan apabila permohonan bantuan JKM untuk ibunya yang lumpuh separuh badan akibat strok mengambil masa begitu lama untuk diluluskan kerana kerenah birokrasi keterlaluan.

Kira-kira 24 jam selepas video itu tular, Diwiyana, 37, terkejut apabila pegawai JKM memaklumkan bahawa bantuan bulanan RM500 untuk ibunya, Selamah Hamid, 73, diluluskan mulai Mac.

Pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan sejak video ‘Kak Yana’ tular. (Gambar Diwiyana Mohammed)

Lembaga Zakat Perak turut mengesahkan ia akan memberikan bantuan, namun jumlahnya belum diketahui.

Menurut Diwiyana, yang lebih dikenali dengan nama ‘Kak Yana’, selepas videonya tersebar, banyak pihak menyatakan rasa simpati tetapi tidak kurang yang mencemuh dan mempersoalkan tindakannya.

“Kak Yana buat video itu untuk mak Kak Yana saja. Kak Yana sudah tak mampu dah waktu itu. Berniaga pun teruk sebab hujan ribut kat Perak. Gerai kecil Kak Yana sudah berapa kali rosak. Jadi dalam keadaan terdesak, kita sanggup buat apa sahaja untuk orang yang kita sayang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, akibat pandemik Covid-19 yang berpanjangan, dia dan suami meraih pendapatan yang tidak menentu dan pernah mendapat hanya RM20 sahaja sehari.

Beliau berkata, komen kalangan netizen seolah-olah beliau tidak bercakap benar atau tidak patut meluahkan rasa kesal dengan JKM memberi kesan mendalam kepadanya lebih-lebih lagi kerana dia menghidap ‘anxiety disorder’ (kecelaruan keresahan).

Video Diwiyana Mohammed yang dimuat naik Selasa lalu tular hingga meraih tontonan 1 juta penonton. (Gambar Diwiyana Mohammed)

“(Ada yang tanya) betul ke awak ini macam ini? (Ada yang soal) Ini betul ke? Saya sekarang takut nak tengok media sosial kerana ia akan ‘trigger anxiety disorder’ dan membuat saya tertanya-tanya diri sendiri, salah ke aku buat macam ini?,” katanya.

Justeru, beliau berharap warganet tidak bersangka buruk terhadapnya kerana mereka tidak tahu beban harian yang dipikul oleh beliau dan orang senasib.

“Sejujurnya dari hati Kak Yana, Kak Yana buat video ini untuk orang lain juga. Mudah-mudahan dengan cara Kak Yana keluar bercerita pasal masalah birokrasi ini, mungkin memudahkan urusan orang lain juga untuk minta (bantuan),” katanya.

Diwiyana berkata, dia tidak menjangkakan permohonan bantuan di JKM di Perak akan tertangguh begitu lama setelah beliau sekeluarga berpindah dari Kuala Lumpur ke Ipoh dua tahun lalu.

Penceramah bebas, Ebit Lew, turut menghulurkan sumbangan kepada ibu Diwiyana. (Gambar Diwiyana Mohammed)

“Bila pindah, ingatkan prosesnya semudah di Kuala Lumpur. Sebab di Kuala Lumpur, Kak Yana tak mengalami kerenah birokrasi.

“Bila Kak Yana buat balik di Perak, dia (JKM Perak) minta kena ada cop ADUNlah, (kena cop) penghululah”.

Kesabarannya mula menipis apabila diberitahu oleh JKM bahawa fail permohonannya “mungkin hilang” dan memaksanya membuat permohonan baharu pada 28 Januari lepas.

Antara yang menonton Tik Tok Diwiyana adalah bekas wartawan dan ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Azman Ujang.

Beliau berkata, video tular itu memaparkan kerenah birokrasi agensi kerajaan yang menghimpit rakyat yang memerlukan pembelaan.

Justeru katanya, media sosial adalah saluran terbaik untuk mendedahkan kepincangan dalam jentera kerajaan.

“Dalam masa beberapa jam soal permohonan boleh selesai. Maksudnya, itu menunjukkan kekuatan media sosial. Kita harus tabik pada media sosial.

“Ini pengajaran kepada perkhidmatan awam kita. Jangan ambil endah perkara begini,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.