
Kecewa dengan larangan itu, seorang ahli berkata, pengunjung kelab itu berbilang kaum dengan semua lapisan masyarakat bersukan dan bergaul antara satu sama lain.
“Saya bercadang melepaskan keahlian saya, sebahagiannya kerana larangan alkohol ini. Ada kelab lain di Bukit Kiara yang boleh saya kunjungi,” katanya yang menyertai kelab itu lebih 35 tahun lepas.
“Saya percaya langkah kerajaan negeri melarang (penjualan dan pengambilan) alkohol di kelab itu tidak tepat kerana ia menghalang ahli-ahlinya yang bukan beragama Islam daripada menikmati satu kemudahan, (iaitu) minum bir sejuk selepas bersukan atau minum bersama rakan dan keluarga.”
Beliau berkata, larangan itu juga menjejaskan pendapatan yang sangat diperlukan oleh kelab itu, terutamanya susulan kesan sekatan Covid-19.
Seorang lagi ahli senior yang telah menganggotai kelab itu selama 26 tahun, turut berhasrat melepaskan keahliannya disebabkan larangan itu.
“Saya hanya akan kekal menjadi ahli selagi tiada larangan terhadap alkohol. Peraturan baharu ini tidak adil dan saya tak sokong,” katanya kepada FMT.
“Mereka patut ikut peraturan yang ditetapkan sebelum ni, bukan tukar sesuka hati.”
Satu peraturan baharu oleh jawatankuasa agung kelab yang melarang penjualan dan pengambilan alkohol di premis itu berkuat kuasa pada 12 Feb. Ahli dan tetamu juga tidak dibenarkan membawa alkohol ke dalam premis.
Seorang anggota pentadbiran kelab itu memberitahu FMT bahawa larangan itu selaras dengan arahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Haris Kasim.
Haris, yang juga bekas Datuk Bandar Shah Alam, sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Kerajaan Melaka turut mengumumkan larangan serupa terhadap pengambilan dan penjualan alkohol di Kelab Desa Ayer Keroh pada Disember.