Tipu pelaburan saham, 19 laporan diterima babit kerugian RM3 juta

Tipu pelaburan saham, 19 laporan diterima babit kerugian RM3 juta

Siasatan polis mendapati skim pelaburan ini menawarkan pembelian saham syarikat yang didakwa patuh syariah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din, berkata pelabur dijanjikan faedah sebanyak 4% setiap bulan dan wang pelaburan pokok akan dipulangkan setelah kontrak pelaburan tamat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menerima 19 laporan melibatkan jumlah kerugian kira-kira RM3 juta berhubung pendedahan sebuah laporan media tempatan bertajuk “400 individu rugi RM54 juta beli saham keutamaan syarikat Datuk Seri”.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din, berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

Beliau berkata, polis telah mengenal pasti suspek utama dan lain-lain suspek yang terlibat dan usaha untuk mengesan dan menahan mereka sedang dijalankan.

“Berdasarkan siasatan, skim pelaburan ini menawarkan pembelian saham syarikat yang didakwa patuh syariah.

“Pelabur dijanjikan faedah sebanyak 4% setiap bulan dan wang pelaburan pokok akan dipulangkan setelah kontrak pelaburan tamat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kamarudin berkata, bagaimanapun faedah berkenaan hanya dibayar pada peringkat awal pelaburan sebelum kemudiannya pihak syarikat menghilangkan diri.

Menurutnya, polis mengingatkan orang ramai untuk memberikan perhatian dan melaksanakan semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.