Retorik agama di Malaysia masih regresif, kata ahli akademik

Retorik agama di Malaysia masih regresif, kata ahli akademik

Profesor Sosiologi Universiti Nasional Singapura Syed Farid Alatas berkata generasi muda perlu dididik secepat mungkin kerana perubahan mengambil masa satu ke dua generasi sebelum ia nampak ketara.

Syed Farid Alatas berkata, negara tidak mencapai sebarang perubahan ketara dari segi pendidikan agama.
PETALING JAYA:
Retorik agama di Malaysia kekal lebih regresif berbanding progresif, kata seorang ahli akademik yang memberi amaran lebih dua tahun dulu bahawa negara semakin tergelincir ke arah kecenderungan untuk menjadi ekstremis.

Syed Farid Alatas, rakyat Malaysia yang berkhidmat sebagai profesor sosiologi di Universiti Nasional Singapura berkata, situasi tidak berubah sejak September 2019 ketika beliau mendakwa Malaysia tergelincir ke arah menjadi ekstremis susulan beberapa tindakan keras pihak berkuasa agama Johor dan Selangor terhadap penganut Syiah.

Katanya, terdapat keperluan mendesak untuk mendidik generasi muda secepat mungkin kerana perubahan mengambil masa satu ke dua generasi sebelum ia nampak ketara.

Dalam temu bual terbaharu dengan FMT Farid berkata, institusi agama dan personaliti yang sama kekal dominan.

“Kita tidak melakukan sebarang perubahan ketara dari segi pendidikan agama,” katanya.

“Tidak ada petunjuk bahawa perubahan itu akan berlaku.”

Katanya, topik agama tidak selalu menjadi perbalahan dan beliau menyalahkan ahli politik kerana berbuat demikian selain mengatakan bahawa mereka cenderung untuk memanipulasi kepentingan dalam agama bagi mendapatkan sokongan politik.

“Apabila agama menjadi kuat, ahli politik mendapati ia berguna dan boleh digunakan sebagai alat. Itulah masalahnya,” katanya.

“Tetapi saya ingin menekankan bahawa ia bukan masalah agama. Mana-mana ideologi atau sistem nilai, jika ia bermakna kepada rakyat akan dimanipulasi dan disalahgunakan oleh ahli politik.”

Merujuk kepada keretakan hubungan antara Umno dan PAS, Farid berkata, ia membabitkan kedua-duanya, baik dan buruk.

Katanya, ia bagus kerana menghentikan agenda Islamisasi.

“Apabila saya katakan agenda Islamisasi, saya maksudkan agenda yang lebih ekstremis kerana pada dasarnya kita tidak menentang Islam tetapi kita menentang fahaman regresif mengenai Islam yang ada pada mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.