Pendakwa raya lewat dedah keterangan, perbicaraan 1MDB pegawai Goldman Sachs ditangguh

Pendakwa raya lewat dedah keterangan, perbicaraan 1MDB pegawai Goldman Sachs ditangguh

Menurut pendakwa raya, mereka baru mendapat tahu satu bahagian DoJ AS tidak berkongsi kira-kira 15,500 dokumen berkaitan Tim Leissner, bekas ketua Roger Ng.

Roger Ng, bekas pegawai bank Goldman Sachs, dibicarakan di AS kerana dituduh membantu menyelewengkan dana 1MDB. (Gambar Reuters)
NEW YORK:
Hakim memutuskan perbicaraan bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng, yang dituduh membantu menyelewengkan dana 1MDB, dihentikan sementara berikutan kelewatan pendakwa raya mendedahkan beberapa keterangan kepada pihak pembelaan.

Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah. Menurut pendakwa raya, dia menerima berjuta-juta dolar sebagai sogokan bagi membantu menggelapkan dana 1MDB.

Pendakwa raya dalam pemfailan mahkamah pagi semalam, iaitu lebih seminggu selepas pernyataan pembukaan dalam perbicaraan Ng dimulakan berkata, mereka lewat mengetahui pada Selasa bahawa satu bahagian yang tidak dikongsikan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dengan mereka atau Ng, iaitu kira-kira 15,500 dokumen berkaitan Tim Leissner yang merupakan bekas ketua Ng.

“Kerajaan secara mutlak dan diakui pada ketika ini tidak memenuhi kewajipannya. Keterangan masuk sedikit demi sedikit,” Marc Agnifilo, salah seorang peguam Ng, memberitahu hakim Margo Brodie di mahkamah persekutuan Brooklyn tanpa kehadiran juri.

Agnifilo berkata, dokumen itu mungkin penting bagi pembelaan.

Brodie berkata, beliau sebelum ini meminta pendakwa raya memastikan semua pendedahan dibuat dan kelewatan itu “membimbangkan”.

Leissner, yang mengaku bersalah atas tuduhan serupa pada 2018, memberi keterangan menentang Ng, 49, sebagai saksi utama kerajaan.

Brodie berkata, beliau akan membenarkan pendakwa raya selesai menyoal Leissner dan kemudian menghentikan sementara perbicaraan sebelum pemeriksaan balas untuk memberi Agnifilo masa menyemak dokumen baharu itu.

“Saya akan beri anda seberapa banyak masa diperlukan,” kata Brodie, walaupun menurutnya, perbicaraan itu tidak boleh ditangguhkan selama-lamanya.

Agnifilo berhujah, wang USD35 juta diterima Ng, yang dikatakan kerajaan sebagai keuntungan yang diperoleh secara haram, sebenarnya adalah hasil usaha perniagaan yang tidak berkaitan antara isteri Ng dan bekas isteri Leissner.

Pembantu pendakwa raya AS Alixandra Smith berkata, pendedahan yang tertangguh itu adalah “kesilapan yang tidak boleh dimaafkan” dan tidak membantah perbicaraan dihentikan sementera.

Antara 2009 dan 2014, Goldman mengaut bayaran kira-kira USD600 juta bagi membantu 1MDB menjual USD6.5 bilion dalam bentuk bon, tetapi kira-kira USD4.5 bilion daripadanya dialihkan dan pegawai Goldman merasuah pegawai untuk mendapatkan perniagaan untuk bank itu, kata pendakwa raya.

Goldman pada 2020 membayar denda hampir USD3 bilion dan mengatur supaya unitnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.