
Wanita berusia 43 tahun itu dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi turut mendakwa tidak pernah mengucapkan syahadah semasa bernikah di Australia, namun dokumen perkahwinan JAIS menyenaraikannya sebagai beragama Islam.
Wanita itu dan pasangannya yang merupakan warga tempatan bercerai pada 2016 selepas lima tahun mendirikan rumahtangga. Katanya, bekas suaminya memberitahu dia tidak perlu memeluk Islam untuk mereka berkahwin.
Selepas bernikah di Australia, pasangannya mendaftarkan perkahwinan mereka dengan JAIS, katanya.
“Bekas suami kata saya tak perlu masuk Islam untuk berkahwin dan kami bernikah di sebuah masjid di Sydney. Semasa pernikahan, saya tidak pernah mengucapkan syahadah. Ini boleh disahkan oleh pegawai masjid (di Australia).”
Wanita itu memohon Mahkamah Tinggi Syariah menentukan status agamanya pada 2020. Pada 3 Mac 2021 hakim memutuskan ia tiada bidang kuasa ke atas beliau kerana bukan Islam namun pendaftarannya dalam dokumen JAIS tidak dibatalkan.
“Saya percaya bahawa saya telah didaftarkan sebagai beragama Islam seperti yang dinyatakan dalam surat daripada Ketua Pendaftar Perkahwinan dan Perceraian Islam negeri (Selangor),” katanya.
“Justeru langkah memfailkan saman pemula di mahkamah sivil adalah langkah yang betul untuk mengesahkan dan membetulkan status agama saya,” katanya.