Bekas pengajar tahfiz mengaku tak salah liwat, amang seksual pelajar

Bekas pengajar tahfiz mengaku tak salah liwat, amang seksual pelajar

Muhammad Jamil Abdul Kadir yang juga warden didakwa melakukan kesalahan itu terhadap enam murid berusia antara 11 hingga 13 tahun ketika di asrama.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM51,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan semula kes. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pengajar di sebuah pusat tahfiz didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman, Terengganu hari ini atas 10 pertuduhan meliwat dan melakukan amang seksual terhadap enam pelajar lelaki pada Disember 2021 hingga Februari lalu.

Tertuduh, Muhammad Jamil Abdul Kadir, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Wan Suhaila Mohd.

Jamil yang juga warden di pusat berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu terhadap enam murid berusia antara 11 hingga 13 tahun di asrama, menurut laporan Kosmo.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah S H Sahul Hamid mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan dua pertuduhan mengikut Seksyen 377B kanun sama.

Empat pertuduhan lain adalah mengikut Seksyen 14(d), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala tiga pertuduhan melibatkan Seksyen 14(a), akta sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM51,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin selain tidak boleh mengganggu atau mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.

Wan Suhaila menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.