Zahid tawar jadi Presiden jika kembali kepada Umno, dakwa Muhyiddin

Zahid tawar jadi Presiden jika kembali kepada Umno, dakwa Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional mendedahkan tawaran itu dibuat sendiri Zahid Hamidi, di Sri Perdana.

Muhyiddin Yassin dakwa Zahid Hamidi, sanggup melepaskan jawatan itu untuk diserahkan kepada Presiden Bersatu itu sekiranya beliau kembali kepada Umno. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Muhyiddin Yassin malam tadi membuat pendedahan mengejutkan dengan mendakwa Zahid Hamidi menawarkan jawatan Presiden Umno ketika beliau masih Perdana Menteri.

Berucap pada satu himpunan di DUN Bukit Kepong, Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata Zahid ketika itu memujuk beliau kembali kepada Umno, dalam satu pertemuan di Sri Perdana.

“Dia datang jumpa saya (kata), ‘marilah Tan Sri balik semula kepada Umno, saya nak serahkan Presiden Umno’ pada saya.

“Kalau tanya Zahid, dia cakap saya bohong,” katanya.

Menurut Muhyiddin, beliau terus menolak tawaran itu.

“Saya fikir perjuangan Bersatu bersama PAS lebih baik,” katanya.

Beliau juga mendakwa, berdasarkan apa yang dibicarakan Zahid, tawaran itu merupakan keputusan parti untuk mempelawanya masuk Umno.

“Datang dia (kata), ‘ini keputusan kita nak minta Tan Sri balik semula kepada Umno,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.