
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Zailan Yunus, 55, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Zaidi Yunus, 56, di sebuah rumah di Jalan 23 Selayang Baru, Gombak, pada 1.30 tengah hari 18 Feb lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan bawah Seksyen 323.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap, iaitu pada 21 Feb lepas.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Zailan dan meminta mahkamah mengambil kira kecederaan mangsa serta rekod jenayah tertuduh pada 2020 yang juga membabitkan kesalahan bawah Seksyen 323.
Peguam M Mariappan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan pula memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh merupakan bapa tunggal yang mempunyai seorang anak.