
SPR Johor memaklumkan, jumlah terkini borang calon bagi PRN tersebut akan dimaklumkan kemudian.
“Hari penamaan calon bagi PRN Johor ke-15 akan berlangsung pada 26 Feb atau Sabtu ini bermula dari jam 9 hingga 10 pagi.
“Sebanyak 56 pusat penamaan calon (PPC) akan dibuka bagi menerima borang pencalonan PRN kali ini yang akan diuruskan Pegawai Pengurus Pilihan Raya di kesemua PPC itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sementara itu, setakat ini hanya Pakatan Harapan (PH) membabitkan PKR, Amanah, DAP selain MUDA dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), sudah mengumumkan sebahagian calon mereka bagi menghadapi pilihan raya ini.
PKR selesai mengumumkan kesemua 20 calon mereka Sabtu lalu, manakala Amanah pula mengumumkan kesemua 16 calon parti itu Jumaat lalu.
MUDA pula mengumumkan empat daripada enam calonnya setakat ini, membabitkan kerusi Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong dan Bukit Permai.
DAP juga sudah mengumumkan 14 calon parti itu secara berperingkat dengan majlis pengumuman rasmi kesemua calon berkenaan berserta penyampaian watikah calon akan diadakan jam 5 petang esok di Hotel Impiana, Senai, Johor.
PSM pula mengumumkan hanya akan bertanding di sebuah kerusi pada PRN Johor, iaitu membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.
Selain DAP, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang turut akan mengumumkan calon mereka, esok.
BN akan mengumumkan kesemua 56 calon mereka jam 10 pagi esok, PN pula dijangka mengumumkan semua 56 calon parti itu pada jam 2.30 petang di Skudai, manakala Pejuang pula akan mengumumkan kesemua 42 calon mereka di Muar pada jam 2 petang esok.
Sementara itu, Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata, parti itu akan mengumumkan calon dan kerusi yang ditandingi pada pagi Jumaat ini tetapi waktu serta lokasi belum diputuskan.
Satu-satunya parti yang masih belum membuat pengumuman butiran calon mereka adalah Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dilaporkan mahu bertanding di dua kerusi DUN dengan calon parti itu akan diumumkan menjelang hari penamaan.
Susulan perkembangan itu, sekurang-kurangnya 10 parti dijangka menurunkan calon masing-masing pada PRN Johor, sekali gus mencatat sejarah jumlah parti terbanyak yang bertanding pada satu-satu pilihan raya di negara ini.