Dakwaan amalan buruh paksa terhadap kilang sarung tangan palsu, kata Dr M

Dakwaan amalan buruh paksa terhadap kilang sarung tangan palsu, kata Dr M

Pengerusi Pejuang itu berkata negara perlu memberi tumpuan kepada pelaburan tempatan berskala besar dan bukannya bergantung kepada pelaburan langsung asing untuk memulihkan ekonomi.

Dr Mahathir berkata, Malaysia adalah sebuah negara kecil yang menjadi pengeluar sarung tangan terbesar di dunia. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Dakwaan amalan buruh paksa dan buruh kanak-kanak di kilang pembuatan sarung tangan di negara ini adalah palsu, kata Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad.

“Malaysia adalah sebuah negara kecil yang menjadi pengeluar sarung tangan terbesar di dunia.

“Kita boleh mengeluarkan sarung tangan getah, sarung tangan nitrit dan kita juga boleh mengatasi segala dugaan yang ditimbulkan oleh pihak lain seperti menggunakan buruh paksa, buruh kanak-kanak dan lain-lain.

“Kami akan mengatasi semua dakwaan palsu ini,” katanya pada sidang media Pejuang di Yayasan Kepimpinan Perdana ketika melancarkan manifesto Aspirasi Johor sempena menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Sepanjang tahun lalu, negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kanada telah mengharamkan produk daripada syarikat pengeluar sarung tangan seperti Supermax Corporation, Top Glove disebabkan dakwaan amalan kanak-kanak atau buruh paksa.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, parti itu memberi tumpuan kepada empat isu utama sebagai sebahagian daripada manifesto mereka dalam PRN akan datang dan salah satunya ialah pemulihan ekonomi.

Selain pemulihan ekonomi, Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, Pejuang juga akan memperjuangkan kerajaan yang adil untuk semua kaum walaupun parti itu merupakan parti Melayu.

Pejuang hanya bertanding 42 kerusi

Mahathir berkata, parti itu akan bertanding di 42 kerusi selepas mengambil kira banyak faktor dan salah satunya adalah kesesuaian berdasarkan bangsa dan umur.

“Kita parti Melayu dan ada beberapa kawasan yang didominasi bukan Melayu jadi agak sukar bagi kita.

“Kami juga tidak tamak, tidak mahu ambil semua (kerusi). Kita mahu sekadar cukup dan 42 sudah memadai,” katanya sambil menambah tiada gunanya mereka bertanding dan kalah di semua 56 kerusi.

Beliau juga berkata, parti pembangkang lain lebih mementingkan pergaduhan sesama sendiri untuk jawatan Menteri Besar.

Pejuang akan mengumumkan senarai calon dan kawasan yang ditandinginya esok pada 2 petang di Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.