Nik Zawawi akui dilantik Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS

Nik Zawawi akui dilantik Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS

Pelantikannya berkuat kuasa selepas Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada malam 20 Feb itu susulan peletakan jawatan Mohd Khairuddin Aman Razali pada hari sama.

Nik Muhammad Zawawi Salleh mengesahkan beliau dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS yang baharu berkuat kuasa 20 Feb lepas. (Gambar Bernama)
SABAK BERNAM:
Ketua Dewan Ulama PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh hari ini mengesahkan beliau dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS yang baharu berkuat kuasa 20 Feb lepas.

Nik Zawawi yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II berkata, pelantikannya berkuat kuasa selepas mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada malam 20 Feb susulan peletakan jawatan Mohd Khairuddin Aman Razali pada hari sama.

“Ya, betul (dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS baharu). Saya seorang daripada anggota sebelum ini maka sebulat suara (setuju dengan pelantikan) apabila Mohd Khairuddin letak jawatan.

“Mohd Khairuddin meletakkan jawatan dengan terhormat dan majlis berbincang untuk letak saya balik (sebagai setiausaha). Saya sebelum ini dah pegang jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulamak ini lebih 10 tahun. Saya pegang lama dan dilantik semula,” katanya selepas meninjau Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Sekinchan di sini, hari ini.

Nik Zawawi berkata demikian ketika diminta mengesahkan sama ada benar beliau dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS yang baharu.

Semalam, media melaporkan Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha dan ahli Majlis Syura Ulama PAS berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(7).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.