
Abdul Aziz Abdullah, 33, yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental mengangguk sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Abdul Aziz didakwa membunuh Rahana Abd Razak, 55, di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek dekat sini, antara 3.30 hingga 4.30 petang pada 16 Feb lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat mangsa.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dipercayai membunuh ibu tirinya dengan cara memenggal kepala mangsa dengan menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan lehernya terputus di dalam bilik di sebuah rumah di Jerek.
Suspek bagaimanapun menyerah diri di Balai Polis Bertam selepas kejadian dan memberitahu telah membunuh ibu tirinya dengan parang.