
M Kula Segaran, yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat, mengesahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan inkues kes kematian Ganapathy di Mahkamah Koroner di Shah Alam.
Bagaimanapun, beliau berkata, tidak diketahui bila inkues itu akan bermula.
Kula berkata, mahkamah koroner mengadakan pengurusan kes hari ini di mana Timbalan Pendakwa Raya, Sean Dudley mengemukakan senarai saksi berpotensi yang terdiri daripada 80 orang.
“Selepas berbincang dengan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Rasyihah Ghazali, beliau memutuskan jumlah bilangan saksi dikurangkan kepada 25 orang. Pengurusan kes seterusnya diadakan pada 3 Mac.
“Kami mengalu-alukan keputusan Peguam Negara untuk memulakan inkues koroner berhubung perkara ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam mengikut Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam kenyataan.
Ganapathy ditahan polis pada 24 Feb tahun lalu dan kemudian dimasukkan ke Hospital Selayang. Dia meninggal dunia di hospital pada 18 April tahun lalu, hanya lebih sebulan selepas dia dimasukkan ke wad.
Kula bersama V Vemal Arasan mewakili balu Ganapathy, Rajamalar, berkata ketika itu pakar patologi mengesahkan Ganapathy meninggal dunia akibat kecederaan di kaki dan bahu ketika dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Walau bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Gombak ketika itu Arifai Tarawe menafikan laporan terdapat bukti Ganapathy dipukul ketika dalam tahanan polis.
Dalam kenyataannya, Kula turut mengambil kesempatan menyuarakan rasa terkilannya terhadap masalah kematian dalam tahanan yang tidak berkesudahan di negara ini.
“Amat menyedihkan apabila hanya sebulan selepas kematian Ganapathy, seorang lagi tahanan, S Sivabalan meninggal dunia di balai polis yang sama.
“Minggu lalu, seorang lagi tahanan lelaki Melayu yang tidak dinamakan meninggal dunia di balai polis sama dan terdapat 10 kematian dalam tahanan polis di Malaysia setakat tahun ini.
“Jumlah ini membimbangkan dan langkah proaktif perlu diambil segera agar penderaan ini dihentikan. Adakah KPN (Ketua Polis Negara) atau Menteri Dalam Negeri bersungguh-sungguh mahu menangani isu ini?,” katanya.