Identiti mangsa bunuh dan bakar di bangunan pawagam lama dikenal pasti

Identiti mangsa bunuh dan bakar di bangunan pawagam lama dikenal pasti

Identiti itu disahkan berdasarkan pengecaman yang dilakukan oleh waris mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, empat suspek termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan.
PETALING JAYA:
Identiti mangsa bunuh dan bakar yang ditemui di tingkat atas bangunan panggung wayang terbiar di Pekan Simpang Kuala, Alor Setar, pada 15 Feb lalu sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mangsa disahkan sebagai Yusri Idris, 30-an, beralamat di Desa Keda, Pasir Putih, Mukim Tualak, Kuala Nerang, Kedah.

Beliau berkata, identiti itu disahkan berdasarkan pengecaman yang dilakukan oleh waris mangsa.

“Empat individu yang ditahan termasuk seorang wanita berusia antara 30-an hingga 50-an masih disambung reman sehingga 1 Mac ini untuk membantu siasatan.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan setakat ini,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditemui dengan kesan tetakan di tangan dan muka serta mayatnya dibakar di Jalan Simpang Kuala oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang menerima laporan berhubung kebakaran longgokan sampah di tingkat atas bangunan itu.

Bagaimanapun, polis mengesahkan mayat berkenaan adalah mangsa bunuh berdasarkan kesan tetakan dan kesan bakar pada mayat mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.