Dihalang lupus aset: Najib mohon ketepi injunksi mareva

Dihalang lupus aset: Najib mohon ketepi injunksi mareva

Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad, menetapkan 6 Mei untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri Najib Razak dan melanjutkan injunksi itu sehingga perbicaraan.

Injunksi tersebut juga menetapkan had pengeluaran wang ke atas Najib Razak, yang juga Ahli Parlimen Pekan, tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman.
KUALA LUMPUR:
Bekas Perdana Menteri Najib Razak memfailkan permohonan bagi mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu daripada anak syarikatnya untuk menghalangnya daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga US$681 juta.

Najib, 69, memfailkan permohonan itu melalui peguamnya Tetuan Shafee & Co, Jumaat lalu.

Semasa prosiding di Mahkamah Tinggi semalam, Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad, menetapkan 6 Mei untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Pekan itu dan melanjutkan injunksi itu sehingga perbicaraan.

Peguam daripada firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, yang mewakili 1MDB, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Pada 8 Feb, Atan Mustaffa membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited), yang masing-masing merupakan plaintif pertama dan kelima, dalam saman 1MDB terhadap Najib dan beberapa orang lagi.

Injunksi tersebut juga menetapkan had pengeluaran wang ke atas Najib tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman.

Sekiranya beliau memerlukan lebih daripada jumlah itu, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Injunksi mareva adalah perintah untuk menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian kes tindakan undang-undang.

Perintah itu juga menyebut, Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga nilai US$681 juta, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak dan sama ada ia milikan secara tunggal atau secara bersama dengan defendan lain.

Beliau dikehendaki memberikan nilai, lokasi serta segala maklumat aset dan maklumat itu perlu disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima.

Sekiranya keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini melebihi US$681 juta, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal tidak kurang daripada US$681 juta.

Perintah itu juga menyatakan bahawa mana-mana individu dalam prosiding itu atau sebaliknya yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah dan mereka boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian.

Dalam saman itu, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) juga dinamakan sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif) SRC International Sdn Bhd.

Saman bernilai US$8 bilion itu adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih US$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.