Contohi syarikat yang dah mula bayar gaji minimum RM1,500, Saravanan gesa majikan

Contohi syarikat yang dah mula bayar gaji minimum RM1,500, Saravanan gesa majikan

Aeon Co (M) Bhd dan Westports Holdings Bhd menunjukkan contoh yang baik atas keprihatinan mereka terhadap permasalahan pekerja, kata Menteri Sumber Manusia itu.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan sebelum ini berkata, gaji minimum ‘kira-kira RM1,500 sebulan’ dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.
PETALING JAYA:
Terdapat majikan yang sudah mula membayar pekerja gaji minimum RM1,500 yang dicadangkan walaupun ia belum diwajibkan, menurut Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Beliau berkata, ketika kerajaan belum memuktamadkan gaji minimum baharu, Aeon Co (M) Bhd dan Westports Holdings Bhd sudah melaksanakannya.

Sambil merakamkan penghargaan kepada kedua-dua syarikat itu dalam kenyataan hari ini, Saravanan menggesa pihak lain agar mencontohi mereka.

“Saya juga ingin menyeru kepada majikan lain agar mengambil contoh pendekatan syarikat Aeon Co (M) Bhd dan Westports Holdings dan berusaha menawarkan gaji pekerja pada kadar melebihi gaji minimum sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua syarikat ini menunjukkan contoh yang baik atas keprihatinan mereka terhadap permasalahan pekerja, walaupun dalam keadaan ekonomi yang masih terkesan akibat wabak Covid-19.

Aeon sebelum ini mengumumkan gaji minimum pekerja mereka dinaikkan berkuat kuasa Jan 1 tahun ini. Menurut laman sesawangnya, syarikat itu kini mempunyai 11,000 kakitangan di 202 cawangan pasar raya dan perniagaan lain.

Sementara itu, dalam kenyataan bulan lepas, pengendali pelabuhan dan syarikat pengurusan kargo Westports berkata, ia mencatatkan keuntungan bersih 23.5% kepada RM808.22 juta pada tahun kewangan berakhir Disember 2021, meningkat daripada RM654.49 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Saravanan sebelum ini berkata, gaji minimum “kira-kira RM1,500 sebulan” dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini. Ia sedang menunggu kelulusan Jemaah Menteri, katanya.

Bagaimanapun, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, cadangan itu akan mengakibatkan banyak perniagaan gulung tikar.

Presidennya, Syed Hussain Syed Husman berkata, kebanyakan perniagaan tidak bersedia untuk melaksanakan cadangan gaji minimum baharu itu kerana mereka masih terkial-kial mengharungi kejutan ekonomi akibat wabak Covid-19 dan banjir baru-baru ini.

Gaji minimum kali terakhir dinaikkan pada Februari 2020, iaitu daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.