
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, program yang akan dilaksanakan mulai Mac ini dijangka memanfaatkan 6.4 juta penumpang setahun sekali gus menggalakkan penggunaan bas sebagai mod pengangkutan pilihan rakyat.
“Program ini amat baik kerana ia telah dilaksanakan di Kangar, Ipoh, Seremban dan Kuala Terengganu untuk bantu (rakyat) dan sistem terbaik digunakan serta lebih dinamik untuk perkasakan program perkhidmatan awam darat khususnya bas.
“Antara keunikannya ialah buat kali pertama kita perkenalkan kenderaan elektrik (EV) untuk Johor Bahru ini, kita ada lapan bas EV khusus untuk kawasan pusat bandar raya. Sebab itu kita lakar sejarah, perkenalkan SBST dan dalam konteks Johor Bahru, kita telah perkenalkan sejenis bas yang memang diterima pakai di seluruh dunia, ia merupakan satu trend dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Program SBST Johor Bahru oleh Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad semalam.
Wee berkata, pelaksanaan 128 myBAS di negeri ini akan melibatkan 19 laluan di lima koridor, iaitu Kota Tinggi, Masai, Kulai, Gelang Patah dan Pontian, yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk di sepanjang jajaran perkhidmatan sejauh 1,052 kilometer.
Dalam pada itu, Hasni dalam ucapannya berkata, walaupun Johor mempunyai perancangan projek pengangkutan berskala besar termasuk Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru dan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) namun sistem bas berhenti-henti masih perlu diperkasakan.
“Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang akan digabungkan dengan sistem (pengangkutan) yang baik dan terkini, dengan ketepatan masa perkhidmatan dan kawasan liputannya, malah bas diperkenalkan dalam SBST ini juga melibatkan bas mini, bas biasa dan bas elektrik. Tentunya ini sesuatu yang setara dengan bandar raya Johor Bahru,” katanya.
Sementara itu Hasni berkata, kerajaan Johor berharap Kementerian Pengangkutan akan menggerakkan segera perbincangan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan Singapura.
Beliau berkata, perbincangan itu perlu dilakukan semula dari peringkat awal selepas projek berkenaan terbatal apabila perjanjian dua hala mengenai projek HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura luput pada 31 Dis 2020.
Katanya, sistem pengangkutan awam antara Johor dan Singapura mampu mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor serta memudahkan perjalanan antara kedua-dua negara.