
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia melibatkan lelaki berusia 18, 20 dan 21 tahun.
“Ketiga-tiga suspek ini masing-masing ditahan di Medan Kidd, di pekarangan pejabat D7 (Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap) dan di tepi Jalan Horley. Kesemua mereka diberkas semalam.
“Kelmarin, kita juga telah memberkas seorang lelaki berusia 24 tahun di pekarangan tempat letak kereta awam berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 11.50 malam,” katanya menurut laporan Utusan.
Berdasarkan siasatan katanya, suspek berusia 18 dan 20 tahun itu adalah rakan, manakala suspek berusia 24 dan 21 tahun tidak mengenali satu sama lain.
Katanya, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis ganja.
“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sabtu lalu, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata, kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu dalam kalangan sekumpulan lelaki tempatan yang menghantar rakan mereka yang cedera ke hospital itu dengan pengawal keselamatan.
“Pihak polis menerima dua laporan bagi kejadian berasingan, namun kes tersebut saling berkaitan. Sebelum kejadian di HRPB, kita menerima laporan membabitkan kes mendatangkan kecederaan oleh seorang lelaki tempatan menggunakan senjata tajam.
“Dalam kejadian tersebut, tiga individu cedera dan sedang menerima rawatan di HRPB. Punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara dua keluarga membabitkan isu percintaan.
“Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya.