KKM siasat dakwaan wanita diminta ‘ikat tiub peranakan’

KKM siasat dakwaan wanita diminta ‘ikat tiub peranakan’

Ia susulan dakwaan dalam rakaman audio tanpa nama berhubung wanita hamil didesak 'mengikat tiub peranakan' di sebuah hospital awam di Lembah Klang.

Kementerian Kesihatan akan menyiasat dakwaan wanita diberikan tekanan untuk menjalani prosedur ‘mengikat tiub peranakan’. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyiasat dakwaan dalam rakaman audio tanpa nama berhubung wanita hamil didesak supaya “tiub peranakan mereka diikat” di sebuah hospital awam di Lembah Klang.

“Dakwaan itu serius. Kami akan bercakap dengan pihak yang berkenaan. Tindakan sewajarnya akan diambil,” kata jurucakap KKM kepada FMT.

Rakaman audio dalam bahasa Tamil yang tular itu telah dikongsi melalui laman sembang dan media sosial.

Dua lelaki secara berasingan mendakwa mereka diberitahu wanita berkenaan mendapat tekanan daripada kakitangan hospital untuk menjalani prosedur mengikat peranakan, di mana tiub fallopio mereka disekat bagi mencegah kehamilan.

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berkata, beliau ingin berjumpa pengadu untuk membantu mereka kerana tidak tahu kejadian seumpama itu berlaku di kawasannya.

Tetapi, katanya, beliau perlu tahu siapa yang membuat rakaman suara itu terlebih dahulu untuk mengesahkan kesahihan aduan, yang jika benar, adalah perkara sangat serius.

Dalam satu daripada rakaman itu, seorang lelaki tidak dikenali berkata, isterinya sentiasa menerima tekanan kakitangan hospital apabila beliau dimasukkan ke wad untuk melahirkan anak kedua mereka.

Dalam klip audio berasingan, seorang lagi lelaki yang tidak dikenali berkata, perkara itu berlaku kepada beberapa rakannya, bahkan wanita yang tidak mempunyai anak.

“Walaupun wanita itu kata mereka mahu berbincang dengan suami mereka, kakitangan hospital meminta mereka membuat keputusan dengan segera,” kata lelaki itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.