Kes Loh tak sepatutnya jadi ‘pertembungan kaum’, kata kumpulan NGO

Kes Loh tak sepatutnya jadi ‘pertembungan kaum’, kata kumpulan NGO

Gabungan Bertindak Malaysia memberi amaran dengan melakukan tindakan sedemikian akan menjejaskan hubungan kaum di negara ini dan menjatuhkan imej Islam.

Loh Siew Hong yang mendapat semula hak penjagaan tiga anaknya tidak akan menutup pintu kepada ketiga-tiga mereka untuk menjadi Muslim, kata Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).
PETALING JAYA:
Gabungan 20 badan bukan kerajaan (NGO) menasihatkan semua pihak yang memberi ulasan berhubung penukaran agama tiga anak Loh Siew Hong secara unilateral supaya mengelak melihat perkara itu sebagai “pertembungan kaum bagi menentukan kepercayaan individu”.

Dalam kenyataannya, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) turut memberi amaran bahawa tindakan sedemikian akan menjejaskan hubungan kaum di negara ini dan menjatuhkan imej Islam.

“Kembalinya anak-anak Loh kepada ibunya tidak menutup pintu buat mereka untuk menjadi Muslim apabila dewasa,” kata Pengerusi GBM Badlishah Sham Baharin.

“GBM yakin rakyat akan menerima penyelesaian adil dan munasabah terhadap nasib Loh dan anak-anaknya.

“Rakyat Muslim negara ini sepatutnya tidak mudah terpedaya dengan cubaan menakut-nakutkan bahawa bukan Muslim berusaha mengurangkan jumlah Muslim.”

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Loh terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pendakwah yang menjaga anak-anaknya selama tiga tahun.

Sebelum ini, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pihak berkuasa agama negeri itu mendaftarkan ketiga-tiga anak Loh sebagai Muslim tanpa kebenaran ibu mereka.

Tindakan itu melanggar keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 membabitkan penukaran agama kanak-kanak berusia bawah 18 tahun yang memerlukan kebenaran kedua-dua ibu bapa.

Loh akan memohon semakan kehakiman berhubung penukaran agama ketiga-tiga anaknya yang dibuat secara unilateral, manakala Asri akan melihat langkah lain dari sudut undang-undang bagi mempertahankan keislaman anak Loh jika mereka ingin terus menganut Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.