
Kerajaan memfailkan empat soalan undang-undang sebagai prasyarat untuk mendapatkan kebenaran mahkamah tertinggi itu bagi memperoleh merit untuk kes itu dibicarakan.
Pemohon turut memasukkan Ketua Pengarah perkhidmatan awam dalam permohonan mereka, manakala responden adalah pesara Aminah Ahmad dan 56 lagi yang memulakan saman itu pada 2017.
Dokumen mahkamah yang dilihat FMT mendedahkan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, memfailkan afidavit berkenaan dua minggu lalu untuk menyokong permohonan kebenaran terbabit.
Kertas undang-undang turut diserahkan kepada peguam yang mewakili responden.
Dalam membenarkan rayuan Aminah dan individu lain pada 13 Jan lalu, tiga Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan pindaan Akta Penyelarasan Pencen, yang berkuat kuasa 1 Jan 2013, tidak berperlembagaan.
Hakim Darryl Goon dalam penghakimannya berkata, pindaan itu menyalahi Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan kerana skim pencen baharu tidak boleh kurang baik berbanding sebelumnya.
Di bawah skim lama, pencen pesara kerajaan disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred berkenaan.
Bagaimanapun, bermula 2013, skim baharu yang diperkenalkan berdasarkan kadar rata kenaikan tahunan 2%.
Selepas keputusan Mahkamah Rayuan, 28 bekas hakim dan tujuh tanggungan hakim yang meninggal dunia, memfailkan saman serupa bagi meminta bayaran pencen diselaras berdasarkan gaji semasa hakim yang sedang berkhidmat.
Masalah mereka timbul ketika kerajaan pada 2015, membuat semakan gaji bagi hakim yang diberikan pencen lebih tinggi, selain kenaikan tahunan 2% bagi mereka yang bersara selepas pindaan itu dibuat.
Namun, mereka yang bersara sebelum 2015 terus menerima pencen berdasarkan gaji lama, termasuk kenaikan tahunan 2%.
Plaintif kini memohon pengisytiharan bahawa pindaan itu melanggar Perkara 125 Perlembagaan yang memperuntukkan gaji hakim dan terma jawatan lain, termasuk hak pencen, tidak boleh diubah sehingga merugikan mereka selepas pelantikan.