
Beliau berkata, KPM sudah mengenal pasti beberapa punca kepada isu tersebut antaranya jumlah mata pelajaran, buku teks tebal dan murid membawa buku tambahan.
“Kami di KPM sedang merangka pendekatan terbaik (kerana) ia telah berlarutan sekian lama. Apakah pendekatan yang terbaik untuk pastikan isu ini diselesaikan sepenuhnya dengan memperincikan beberapa pendekatan,” katanya menurut laporan Bernama.
FMT sebelum ini melaporkan kisah pelajar Tingkatan 5, Nurul Hanim Fazwin, 17, yang terpaksa menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang yang bengkok 40 darjah.
Masalah itu dikaitkan dengan amalan pelajar itu menggalas beg sekolah berat saban tahun.
Isu itu mendapat respons pelbagai pihak termasuk bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Rata-ratanya mencadangkan sukatan pelajaran dirombak semula serta penggunaan e-buku atau buku elektronik secara meluas.
Sementara itu, KPM belum membuat keputusan berhubung pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi sesi 2022.
Radzi berkata, KPM sedang meneliti pendekatan yang paling sesuai berkaitan PT3 dengan mengambil kira tahap penguasaan murid dan indikasi daripada sesi persekolahan 2021 yang masih berlangsung.
Sebelum ini, tular di Facebook mengenai hantaran yang didakwa dibuat oleh Lembaga Peperiksaan Rasmi yang memaklumkan PT3 akan diadakan semula bagi 2022 pada Oktober hingga November. Semakan mendapati hantaran itu telah dipadamkan.
Radzi dalam pada itu berkata, KPM akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok berhubung penggunaan sekolah menengah di Johor sebagai pusat mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor untuk memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar.