Amah dilayan lebih baik di Singapura kerana dasar jelas, kata aktivis

Amah dilayan lebih baik di Singapura kerana dasar jelas, kata aktivis

Adrian Pereira berkata, pembantu rumah di Malaysia berada dalam situasi rentan disebabkan SOP tidak jelas dan penguatkuasaan undang-undang yang lemah.

PETALING JAYA:
Kes penganiayaan pembantu rumah warga Indonesia di Singapura kurang berbanding Malaysia disebabkan dasar yang jelas mengenai pekerja asing dan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat, kata seorang aktivis.

Pengarah Eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira berkata, prosedur operasi standard (SOP) Malaysia mengenai pembantu rumah tidak telus, manakala undang-undang tidak dikuatkuasakan dengan tegas, sekali gus meletakkan kumpulan itu dalam situasi rentan.

“Bagaimanapun tidak juga tepat untuk mengatakan layanan buruk terhadap pembantu rumah di Singapura hampir tidak berlaku kerana penderaan turut dilaporkan di sana,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada keluhan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono mengenai layanan buruk terhadap pembantu rumah warga Indonesia di negara ini. Beliau turut membuat perbandingan dengan berkata, hampir tiada kes penganiayaan sedemikian terhadap warganya berlaku di Singapura.

Hermono berkata, terdapat banyak kes pembantu rumah warga Indonesia di Malaysia dipaksa bekerja untuk majikan bertahun-tahun tanpa gaji, malah ada yang bekerja lebih sedekad dalam keadaan sedemikian.

Pembantu rumah di Malaysia ‘dinafikan perlindungan’

Pereira berkata, kerajaan dan orang ramai menganggap pekerja domestik Indonesia sebagai hamba, sambil menambah bahawa istilah seperti “pembantu rumah” melambangkan “sifat terikat seolah-olah perhambaan”.

“Ini masalah utamanya, iaitu persepsi yang memberi kesan ke atas tingkah laku dan dasar kita. Sehingga hari ini, pembantu rumah warga asing dinafikan perlindungan seperti yang ditawarkan kepada pekerja lain. Perbezaan ini jelas menunjukkan tiada iltizam politik untuk melaksanakan reformasi dalam sektor ini,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, terdapat terlalu banyak pengecualian kritikal yang mengakibatkan pembantu rumah di sini terjerumus dalam senario pemerdagangan buruh.

Ditanya sama ada memorandum persefahaman (MoU) yang dimuktamadkan antara Jakarta dan Putrajaya akan melindungi pekerja ini dengan lebih baik, Pereira berkata, sejarah menunjukkan bahawa MoU sedemikian pasti akan gagal kerana ia dilakukan secara rahsia hampir tanpa perbincangan dan dengan perbahasan minimum dengan pembantu rumah dan masyarakat awam.

“Hanya apabila ada undang-undang dan dasar yang komprehensif mengenai pembantu rumah yang menggabungkan prinsip Kerja Wajar seperti dicadangkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), baharulah kita akan dapat melihat keadilan dan perlindungan bagi mereka,” katanya.

Undang-undang asing bagi pekerja domestik

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata, wujud keperluan bagi undang-undang tunggal yang merangkumi keseluruhan kerja-kerja domestik dan isu yang berpotensi timbul disebabkan sifat kerja tersebut yang terpencil.

“Kami menyeru agar undang-undang berasingan digubal dengan kerja-kerja domestik diiktiraf sebagai pekerjaan dan wanita terbabit dikenal pasti sebagai pekerja, bukan hamba. Negara sumber juga mempunyai tanggungjawab yang sama untuk melindungi hak warga mereka, terutamanya yang bekerja di luar negara.

“Mereka mesti memastikan pembantu rumah tidak terikat dengan hutang dan hak mereka terjamin melalui perjanjian dua hala dan ketika bekerja,” katanya kepada FMT.

Das berkata, kerajaan harus meluluskan rang undang-undang pembantu rumah atau memperkukuh mekanisme perlindungan bagi mereka sebelum timbul lagi kes kematian atau penganiayaan.

Sementara itu, wakil Persatuan Pekerja Rumah Tangga Indonesia Migran (PERTIMIG) yang hanya mahu dikenali sebagai Rosidah berharap Putrajaya memantau sektor itu dengan lebih baik bagi mengelak pembantu rumah dieksploitasi oleh majikan.

Katanya, kebanyakan pembantu rumah tiada akses kepada alat komunikasi seperti telefon bimbit.

“Saya rasa penyeliaan adalah sangat penting dan mesti dipertingkatkan, selain mendapatkan pengiktirafan yang sama kepada pembantu rumah bawah undang-undang buruh Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.