Skuad badminton lelaki muncul juara Asia, tamatkan dominasi Indonesia

Skuad badminton lelaki muncul juara Asia, tamatkan dominasi Indonesia

Malaysia membenam Indonesia 3-0 sekali gus menggagalkan harapan untuk memenangi kejohanan itu buat kali keempat berturut-turut sejak 2016.

Pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia menyumbang mata pertama buat Malaysia selepas menundukkan Chico Aura Dwi Wardoyo, 14-21, 21-12, 21-10. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Pasukan lelaki kebangsaan mencipta sejarah apabila berjaya menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 buat kali pertama dengan menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0, di sini hari ini.

Lebih menarik skuad utama Malaysia yang mengambil kesempatan ke atas pasukan kedua Indonesia, menggagalkan harapan musuh tradisi itu untuk memenangi kejohanan berkenaan buat kali keempat berturut-turut, sejak kejohanan bermula pada 2016.

Bagaimanapun, juara All England Lee Zii Jia bermula agak perlahan dan terpaksa akur dengan kekalahan pada set pertama 14-21 ke atas Chico Aura Dwi Wardoyo.

Zii Jia bangkit dengan sokongan penuh daripada 200 penyokong tempatan di Pusat Konvensyen Setia City di sini, dia meningkatkan permainan dan serangannya, yang menyaksikan pemain nombor tujuh dunia itu berjaya mendahului pemain berusia 23 tahun dari Indonesia itu 16-6, sebelum menang set kedua dengan 21-12.

Set ketiga memperlihatkan keupayaan sebenar Zii Jia, dan berjaya mengalahkan Chico 21-10, dan memberikan Malaysia mata pertama.

Mata kedua Malaysia diraih menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, apabila menundukkan beregu Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 17-21, 21-13 dan 21-18.

Kemenangan Malaysia hadir menerusi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong selepas membenam Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay, 21-14, 21-15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.