
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Mujahid Yusof Rawa berkata, penukaran agama secara sepihak akan terus berlaku jika undang-undang tidak diselaraskan dan ditetapkan.
“Bagaimanapun, akhirnya undang-undang ini mesti bersifat belas kasihan, terutamanya dalam kes hak penjagaan anak apabila ibu bapa menukar agama. Itu selaras dengan semangat Islam,” katanya kepada FMT.
“Kalau tidak, kita akan sentiasa dengar mengenai anak-anak ditukar agama oleh bapa mualaf tanpa kebenaran ibu. Ini menggambarkan imej negatif bagi Islam, yang mengutamakan belas kasihan dan kasih sayang ibu,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan mufti Perlis bahawa penukaran agama anak-anak Loh selaras dengan undang-undang Perlis. Hujahnya dipertikaikan oleh pihak lain yang berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengatasi undang-undang negeri.

Mujahid, yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, sikap pihak berkuasa turut perlu diubah.
“Jika kita tak dapat tangani isu ini menerusi undang-undang, kita harus menanganinya melalui sikap kita,” katanya.
“Adakah kita tak belajar apa-apa daripada kes Indira Gandhi? Jika kita tak (belajar daripadanya), isu ini tidak akan berakhir.”
Dalam kes Loh, Mujahid berkata, haknya ke atas anak-anak tidak boleh dinafikan kerana ini bertentangan dengan sifat belas kasihan dalam Islam.
“Malangnya, kita terjebak dengan penunggang kaum dan agama. Menyelesaikan isu ini tidak seharusnya ikut cara sedemikian,” katanya.
“Jika kita tidak dapat bebas daripada kekusutan kaum dan agama, isu ini tidak akan selesai. Kita akan terperangkap dalam keadaan begitu dan lebih banyak masalah akan berterusan,” katanya.
Mujahid turut kesal dengan ketiadaan iltizam ahli politik dalam menyuarakan isu tersebut.
“Satu kem menunggang pendapat popular, manakala yang lain menggunakan kata-kata bersifat menghina kaum dan ketaksuban agama,” katanya.
Beliau berkata, nilai-nilai moral mesti sentiasa ditegakkan dan dihebahkan.
“Islam adil kepada semua. Cara kita memelihara keadilan itulah yang penting.”