Perangi maklumat salah mengenai dos penggalak dalam komuniti Melayu, gesa bekas menteri

Perangi maklumat salah mengenai dos penggalak dalam komuniti Melayu, gesa bekas menteri

Dzulkefly Ahmad mencadangkan kerajaan mendapatkan bantuan pakar dan badan agama untuk menyebarkan maklumat tepat.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai mencadangkan kerajaan menggunakan jentera KKM untuk mendekati masyarakat yang kurang menerima dos penggalak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas Menteri Kesihatan mencadangkan kerajaan mendapatkan bantuan pakar dan pihak berkuasa agama untuk meningkatkan pengambilan dos penggalak Covid-19 dalam kalangan orang Melayu.

Dzulkefly Ahmad berkata, pakar dan badan agama boleh membantu dengan menyebarkan maklumat tepat mengenai dos penggalak.

Mengulas laporan mengenai kadar pengambilan dos penggalak yang rendah dalam kalangan orang Melayu, Dzulkefly berkata, masalahnya terletak pada maklumat salah berkait kesan buruk seperti miokarditis, perikarditis, dan darah beku (embolisme).

Awal minggu ini dilaporkan, kurang daripada separuh populasi Melayu (47.9%) menerima dos penggalak, manakala 81.3% orang Cina, 56.4% orang India, dan 49.6% Orang Asli dan Bumiputera lain telah mendapatkan dos ketiga vaksin Covid-19 setakat 10 Feb.

Dzulkefly berkata, kerajaan juga boleh memberi insentif kepada masyarakat Melayu untuk mengambil dos penggalak atau menghalang akses mereka yang tidak mendapatkan suntikan daripada tempat sesak, ruang tertutup dan yang mendekatkan jarak fizikal.

Dzulkefly Ahmad.

Beliau berpendapat, kadar vaksinasi lebih tinggi dalam kalangan masyarakat Cina dan India mungkin disebabkan oleh kebergantungan yang lebih rendah kepada ahli keluarga dan media sosial untuk mendapatkan maklumat mengenai vaksin.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata, kerajaan harus mengenal pasti kawasan di mana kadar pengambilan dos penggalak rendah dan mengambil langkah penambahbaikan yang diperlukan.

“Jika penerimaan rendah dalam kalangan orang Melayu di luar bandar, kerajaan perlu menggunakan jentera Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendekati mereka. Di tempat paling terpencil pun ada perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Dr Koh Kar Chai.

Koh berkata, KKM dan Kementerian Komunikasi Dan Multimedia harus menggiatkan usaha memerangi berita palsu mengenai dos penggalak, dengan menghantar mesej lebih kerap mengenai faedahnya yang disokong bukti saintifik.

“Ramai pesakit di klinik kami nampaknya tersalah maklum mengenai dos penggalak. Ramai yang mendapat maklumat daripada sumber yang tidak boleh dipercayai.

“Mereka yang menganggap sudah cukup dilindungi daripada Covid-19 dengan dua dos (vaksin) juga patut diberi peringatan bahawa tidak mustahil individu yang telah lengkap vaksinasi mengalami (sindrom) Covid berpanjangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.