Keluarga lelaki maut kebakaran tuntut jawapan daripada polis

Keluarga lelaki maut kebakaran tuntut jawapan daripada polis

Isteri mendiang Revathi Elangovan mempersoalkan bagaimana polis mendakwa mereka hilang kata laluan telefon bimbitnya selepas memintanya dua bulan lepas.

Kannadasan Veerasamy, seorang penyelia bengkel berusia 34 tahun, meninggal dunia dalam kebakaran pada 19 Nov tahun lepas di tempat kerjanya di Puchong.
PETALING JAYA:
Isteri kepada seorang lelaki yang terbunuh dalam kebakaran tiga bulan lalu, yang mendakwa suaminya dibunuh, berkata dia hilang harapan terhadap polis yang menyiasat kes itu.

Revathi Elangovan mempersoalkan bagaimana polis mendakwa hilang kata laluan telefon bimbitnya selepas memintanya dua bulan lalu.

Beliau berkata, polis mahu menyiasat kematian suaminya sebagai bunuh diri walaupun keluarga telah berulang kali meminta polis untuk melihat kejadian itu sebagai kes bunuh.

Suaminya, Kannadasan Veerasamy, seorang penyelia bengkel berusia 34 tahun, meninggal dunia dalam kebakaran pada 19 Nov tahun lepas di tempat kerjanya di Puchong.

Revathi berkata, polis memberitahunya pada 4 Feb mereka kehilangan surat yang mengandungi kata laluan, yang telah diserahkan bersama telefon bimbit miliknya pada 31 Dis lepas atas permintaan polis.

“Mengapa mereka hanya meminta kata laluan saya sekarang? Apa yang mereka lakukan dengan telefon saya selama ini?” dia memberitahu FMT.

“Jika mereka tidak memerlukan telefon saya dengan segera, mengapa mereka mengancam untuk menghukum saya kerana tidak menyerahkannya lebih awal?”

Katanya lagi, dia telah cuba menyuarakan kebimbangannya kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, namun mereka enggan melayan aduan itu kerana kes Kannadasan masih dalam siasatan.

Dia telah membuat dua laporan dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan disahkan Revathi sudah membuat laporan berasingan pada 30 Dis serta 8 Feb.

Revathi berkata, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memberitahunya mereka perlu terlebih dahulu menentukan punca kematian Kannadasan sebelum boleh mengambil tindakan.

Beliau berkata, polis memberitahunya bahawa laporan bedah siasat akan mengambil masa tiga hingga empat bulan lagi untuk dikeluarkan kerana laporan toksikologi perlu dilakukan pihak luar, yang menyebabkan terpaksa menunggu lebih lama lagi.

Peguam keluarga itu, S Vinesh, berkata Revathi dan keluarganya telah “hilang kepercayaan terhadap pegawai” dari Ibu Pejabat Polis Daerah yang menyiasat kes itu.

Pegawai penyiasat enggan mengulas kerana kes itu masih dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.