
Rakaman video yang dimuat naik jurucakap Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Tamilar Kural Malaysia, David Marshel, menunjukkan tiga kanak-kanak itu duduk bersama Loh sambil tersenyum dan memberitahu mahu tinggal “bersama ibu” selepas tiga tahun berpisah.
Video pendek itu dimuat naik ke Facebook beserta kapsyen: “Tidak ada yang sekuat cinta ibu dan tidak ada yang lebih menyembuhkan seperti jiwa anak-anak.
“Jangan sebar penipuan, anak tetap ke pangkuan ibu!” tulis David.
Tiada maklumat bila dan di mana video itu dirakamkan.
David ketika dihubungi FMT berkata, kapsyen tersebut dibuat secara umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.
Jumaat lalu, Loh dilaporkan berkata, beliau kecewa dengan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin kerana mendakwa anak-anaknya yang kini tinggal berasingan tidak mahu “mengikutnya kerana takut”.
Katanya, kanak-kanak itu perlu kekal di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana mereka tidak mahu pulang bersama Loh.
Dalam ceramah agama yang disiarkan secara langsung di Facebook, Asri berkata, anak perempuan itu “berulang kali” memberitahunya mereka tidak mahu mengikuti Loh, apabila bertemu dengannya.
Tiga kanak-kanak itu dibawa ke Kuala Lumpur hari ini sebagai persediaan untuk Mahkamah Tinggi mendengar permohonan habeas corpus Loh esok di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Loh mendapat hak penjagaan sementara tiga anaknya pada 2019 dan hak penjagaan penuh pada Disember tahun lalu.