Dia bukan lagi PM, tak berhak dapat maklumat sulit, Pemuda Umno desak siasat Muhyiddin

Dia bukan lagi PM, tak berhak dapat maklumat sulit, Pemuda Umno desak siasat Muhyiddin

Satu laporan polis dibuat selepas Muhyiddin Yassin mendakwa beliau memperolehi maklumat mengenai status kewangan negara daripada Menteri Kewangan.

Ketua Pemuda Umno Parit Sulong Fared Mohd Khaled (dua dari kanan) bersama pemimpin sayap kawasan menunjukkan laporan polis dibuat ke atas Muhyiddin Yassin di Balai Polis Parit Sulong malam tadi.
PETALING JAYA:
Pemuda Umno Parit Sulong membuat laporan polis susulan kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mendakwa Malaysia menghadapi masalah kewangan lebih besar seperti dilapor sebuah portal berita.

Ketuanya, Fared Mohd Khaled, berkata laporan polis dibuat selepas Muhyiddin mendakwa beliau memperoleh maklumat mengenai status kewangan negara daripada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Maklumat kewangan negara adalah sulit yang dilindungi bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Presiden Bersatu (Muhyiddin) bukanlah salah seorang daripada Jemaah Menteri atau Perdana Menteri yang masih berkuat kuasa atau individu yang berhak dibekalkan dengan mana-mana maklumat sulit negara.

“Tindakan dan kata-kata Presiden Bersatu tersebut kelihatan menjurus kepada ketidakpatuhan kepada dokumen rasmi negara yang dipercayai ia tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya dalam kenyataan.

Fared turut mendesak satu siasatan berkait kesahihan dakwaan itu yang berkemungkinan terdapat percubaan untuk melakukan apa-apa kesalahan bawah Akta Rahsia Rasmi dan undang-undang yang lain sehingga boleh mengundang mudarat kepada negara.

FMT dimaklumkan laporan polis itu dibuat semalam di Balai Polis Parit Sulong yang turut dihadiri barisan kepimpinan pemuda sayap berkenaan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Muhyiddin mendakwa negara menghadapi masalah kewangan yang lebih besar daripada apa yang dimaklumkan oleh kerajaan persekutuan pimpinan Umno.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga berkata akan mendedahkan butirannya pada masa sesuai.

Muhyiddin turut mendakwa, pentadbiran Barisan Nasional yang bergerak “macam biasa” tidak akan dapat menjamin masa depan cemerlang ketika negara seperti Vietnam dan Indonesia sedang meninggalkan Malaysia dalam pembangunan ekonomi.

“Semalam (17 Feb) saya minta laporan untuk disampaikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul… Satu ketika saya akan bocorkan bagaimana kedudukan kewangan negara kita,” kata Muhyiddin semasa majlis pelancaran rasmi PN di Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.