Warga Thailand ditahan seludup migran Myanmar ke Malaysia

Warga Thailand ditahan seludup migran Myanmar ke Malaysia

Suspek bertindak sebagai orang tengah untuk menghantar pendatang Myanmar bekerja di Malaysia.

Suspek berusia 33 tahun yang dikehendaki pihak berkuasa Thailand itu ditahan selepas sebuah rumah di Padang Besar, Sadao diserbu. (Gambar AFP)
SONGKHLA:
Seorang lelaki warga Thailand yang dikehendaki kerana memperdagangkan pendatang dari Myanmar ke Malaysia ditahan di Sadao, di sini, hari ini.

Operasi bersama pasukan penguat kuasa yang terdiri daripada polis dan tentera itu menyerbu sebuah rumah di Padang Besar, Sadao dan menemui suspek berusia 33 tahun dalam rumah terbabit.

Menurut Bangkok Post, siasatan mendapati suspek bertindak sebagai orang tengah untuk menghantar pendatang Myanmar bekerja di Malaysia.

Menurut laporan itu, lelaki terbabit dikehendaki atas waran yang dikeluarkan mahkamah wilayah Na Thawi kerana bersubahat dalam pemerdagangan migran.

Pasukan penguat kuasa turut merampas sepucuk pistol .22 dan 33 butir peluru serta sebuah trak pikap dalam serbuan itu.

Penahanan itu susulan siasatan ke atas 31 pendatang Myanmar, termasuk enam wanita, yang ditahan di ladang getah berhampiran sempadan Thailand-Malaysia, di Sadao, pada 20 Jan lalu.

Siasatan lanjut mendapati tahanan telah mengembara dari Myawaddy di Myanmar dan berhasrat ke Malaysia untuk pekerjaan yang dijanjikan kepada mereka.

Mereka memasuki Thailand melalui lintasan sempadan haram ke daerah Mae Sot di wilayah Tak, dan kemudian dibawa dengan trak pikap ke Hat Yai di Songkhla sebelum cuba memasuki Malaysia, juga melalui cara haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.