
Beliau berkata, punca kematian adalah berpunca jangkitan Covid-19 yang menyebabkan penurunan fungsi organ buah pinggang dan paru-paru orang kena tahan (OKT) itu.
“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan satu lagi kes kematian dalam tahanan, kali ini membabitkan seorang lelaki berusia 43 tahun di Kota Tinggi, Johor.
Azri berkata lelaki itu meninggal dunia ketika dirawat di hospital Kota Tinggi, 4.15 pagi semalam.
Katanya, OKT itu dimasukkan ke wad sejak 16 Feb kerana demam serta muntah dan disahkan positif Covid-19 selepas ujian dijalankan.
Beliau berkata, lelaki itu yang ditahan pada 21 Jan sedang menunggu perbicaraan selepas didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 di mahkamah pada 25 Jan.
Ini adalah kes kesembilan membabitkan kematian dalam tahanan tahun ini.
Menurut polis, daripada sembilan kes kematian dalam tahanan hanya satu melibatkan unsur jenayah.
Bakinya, empat meninggal dunia dalam lokap, tiga kematian di hospital dan satu kes meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.