JaminKerja Keluarga Malaysia sedia 600,000 pekerjaan

JaminKerja Keluarga Malaysia sedia 600,000 pekerjaan

Perdana Menteri berkata inisiatif bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ itu seiring penciptaan peluang pekerjaan bawah Bajet 2022.

Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh, menurut Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ itu seiring dengan penciptaan peluang pekerjaan yang merupakan teras utama di bawah Bajet 2022.

“Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia ini merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi yang lebih mampan, di samping memacu usaha pemulihan negara secara berstruktur dan menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata JaminKerja Keluarga Malaysia merangkumi tiga program utama iaitu JaminKerja Insentif Penggajian, JaminKerja Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP), serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia).

JaminKerja Inisiatif Pengajian akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menyasarkan 300,000 peluang pekerjaan, manakala MySTEP menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan strategik.

Upskill Malaysia pula dilaksanakan HRD Corp dengan menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka serta menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 orang pelatih.

Bagi program JaminKerja MySTEP, Ismail berkata ia menyasarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak yang merangkumi 50,000 pekerjaan sektor awam dan selebihnya dalam GLC untuk tahun ini.

Melalui peruntukan RM1.7 bilion, MySTEP akan diterajui Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan yang akan melaksanakan kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan lain.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata Kementerian Sumber Manusia menyediakan 312 program temu duga terbuka dan karnival pekerjaan sepanjang tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.