
Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Jefridin Atan berkata, walaupun ia adalah kerusi tradisi MCA, tetapi parti itu gagal mempertahankannya pada pilihan raya umum ke-13 dan ke-14.
Memandangkan majoriti pengundi Melayu kira-kira 60% di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, katanya, Umno harus diberikan peluang berdasarkan situasi semasa dan bukan bergantung kepada kerusi tradisi semata-mata.
“Ini bukan soal tamak, tetapi Umno perlu diberikan kesempatan untuk membuktikan keupayaannya bagi mengambil alih kerusi DUN Pekan Nanas yang kini dikuasai DAP,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata, permintaan Umno itu wajar dipertimbangkan memandangkan PRN Johor telah menarik minat parti baharu, termasuk Warisan yang menyuarakan hasrat bertanding di kerusi itu.
Katanya, jika seseorang itu dipilih menjadi calon, mereka bukan sahaja mewakili diri, tetapi juga BN dan usaha perlu dilakukan untuk memenangi kerusi yang ditandingi.
“Selain mempertahankan kerusi DUN Kukup, jentera pilihan raya BN juga perlu memberikan perhatian kepada kerusi DUN Pekan Nanas agar tidak terlepas lagi pada kali ini,” kata Ahli Dewan Negara itu.
Kerusi Pekan Nanas dimenangi Yeo Tung Siong daripada DAP pada PRU 2013 dan 2018, masing-masing dengan majoriti 2,669 undi serta 1,308 undi.
Baru-baru ini, MCA dilapor menyuarakan hasratnya bertanding di kerusi itu pada PRN Johor bulan depan.