
Jawatankuasa Pendidikan PH dalam kenyataan berkata, walaupun pelbagai pihak tampil memberikan pandangan, malangnya KPM masih belum bertindak.
“JK Pendidikan PH (JKPPH) mendapati isu beg berat murid sekolah yang dibangkitkan hampir sebulan lalu masih belum dijawab oleh KPM.
“Meskipun banyak pihak termasuk pakar pendidikan dan kesihatan yang memberikan pandangan dan cadangan agar langkah segera diambil oleh KPM, malangnya KPM masih belum mengambil sebarang tindakan,” katanya.
Jawatankuasa itu berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana boleh mendatangkan mudarat kepada murid dalam tempoh jangka panjang.
Justeru, JKPPH mencadangkan supaya KPM merombak sukatan pelajaran yang lebih mesra pendigitalan pendidikan bagi meminimumkan penggunaan buku teks fizikal.
Dalam pada itu, jawatankuasa itu juga menggesa KPM memberikan kuasa autonomi kepada sekolah untuk berbincang dan membuat keputusan berhubung kaedah pembelajaran yang sesuai mengikut keperluan masing-masing.
“JKPPH berharap cadangan ini boleh dipertimbangkan oleh KPM dan menggesa KPM bertindak segera menjelang pembukaan sekolah sesi 2022/2023,” katanya.
FMT sebelum ini melaporkan kisah pelajar Tingkatan 5, Nurul Hanim Fazwin, 17, yang terpaksa menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang yang bengkok 40 darjah.
Masalah itu dikaitkan dengan amalan pelajar itu menggalas beg sekolah berat saban tahun.