Mazlan sahkan terima tawaran masuk Warisan, tapi ‘tunggu dan lihat’

Mazlan sahkan terima tawaran masuk Warisan, tapi ‘tunggu dan lihat’

Bekas ADUN Bersatu, Mazlan Bujang mengulas desas-desus menyertai parti pimpinan Shafie Apdal selepas dilihat menghadiri majlis pelancaran Warisan di Johor.

Bekas Ketua Bersatu Bahagian Tebrau dan bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang mengesahkan menerima tawaran untuk menyertai Warisan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang mengesahkan menerima tawaran untuk menyertai Warisan, namun mengambil pendekatan “tunggu dan lihat”.

“Memang ada (terima tawaran) tetapi saya masih tunggu dan lihat…tengok keadaan macam mana,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu kepada FMT.

Desas-desus mengenai penyertaan bekas ADUN Puteri Wangsa dalam Warisan hangat diperkatakan selepas gambar beliau dikatakan tersiar seketika di skrin besar pada majlis pelancaran Warisan di Johor pada Selasa.

Mazlan mengesahkan kepada FMT bahawa memang beliau menghadiri majlis itu.

“Saya dulu kawan lama dengan dia (Shafie) dalam Umno…saya dijemput, saya datanglah sebagai kawan. Masuk tak masuk (Warisan) itu nombor dua,” katanya.

Menjawab dakwaan beliau meninggalkan Bersatu kerana ditawarkan jawatan atau pencalonan oleh Umno, Mazlan menepisnya sebagai kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Oh tidak tidak… saya takkan sertai Umno. Saya nak tolak tohmahan kononnya saya keluar (Bersatu), Umno yang beri duit,” katanya.

Mazlan mendedahkan dia dilayan seperti lawan oleh rakan separtinya hanya kerana berani dan kerap menyuarakan pandangan dalam mesyuarat parti.

“Saya bukan ‘yes man’ dari dulu…bila kita bangkang, mula lah dianak tirikan seolah-olah kita ni musuh pula,” katanya.

Pada 27 Jan, Mazlan mengumumkan keluar Bersatu berkuat kuasa serta-merta bersama 23 individu lain termasuk pemegang jawatan sebagai ketua cawangan dan ahli jawatankuasa Bersatu Tebrau.

Mazlan berkata, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik buat masa ini namun akan memberi sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.