
Dia mengakui ada sedikit keraguan oleh tiga anaknya berusia 10 hingga 14 tahun ketika pertama kali bertemu Ahad lalu, selepas tiga tahun.
“Saya bercakap dengan anak-anak saya tadi melalui telefon. Saya tahu mereka agak dingin terhadap saya ketika bertemu dengan mereka.
“Tetapi, apabila saya menemui mereka selama sejam di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mereka mula mendekati saya.
“Saya tidak marah dengan anak-anak kerana saya tahu mereka terpengaruh, lebih-lebih lagi kami sudah lama tidak berjumpa.
“Itu sudah dijangka. Namun, saya terkilan selepas mendengar seseorang berkata bahawa anak-anak saya sama sekali tidak menyukai saya,” katanya kepada FMT.
Semalam, Mufti Perlis Asri Zainul Abidin berkata, anak-anaknya perlu kekal di bawah jagaan JKM kerana mereka tidak mahu pulang bersama Loh.
Dalam ceramah agama yang disiarkan secara langsung di Facebook, Asri berkata, anak perempuan itu “berulang kali” memberitahunya mereka tidak mahu mengikuti Loh, apabila bertemu dengannya.
“Budak-budak (anak-anak Loh) itu menjerit menangis tak (tidak) mau (mahu) pi (pergi), tak mau ikut mak dia, sebab depa takut..tuan-tuan taulah mereka ini beberapa kemungkinan boleh berlaku, akhirnya buat keputusan dijaga sementara JKM.
“Kita tak ada masalah, kalau depa kata kami nak balik kat mak kami, kita tak ada masalah kita bagi, hak bagi tak bagi it kuasa pentadbiran, masalah dia anak-anak itu tak mau.
“Saya memberitahu mereka (anak perempuan Loh) bahawa anda perlu menghormati ibu anda, kerana Al-Quran berkata demikian,” kata Asri.
Loh kini sedang menunggu tarikh mahkamah Isnin ini untuk mendapatkan semula hak jagaan anak-anaknya melalui permohonan habeas corpus. Dia telah diberikan hak penjagaan interim terhadap anak-anaknya pada 2019 dan hak penjagaan penuh pada Dis lalu.
Sabtu lalu, dia telah memfailkan laporan orang hilang meminta polis mendapatkan semula anak-anaknya, yang kali terakhir berada bersama keluarga bekas suaminya, tetapi mendakwa tiada tindakan diambil.
Selepas pencarian itu, Loh akhirnya bertemu semula dengan anak-anaknya di Balai Polis di Perlis pada Ahad, dan memutuskan untuk menempatkan anak-anaknya di pihak neutral iaitu JKM, sementara Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur mendengar saman habeas corpusnya, pada Isnin.
Dia telah meminta anak-anaknya dilawati setiap hari di rumah perlindungan JKM di Jitra dan ini telah dipersetujui oleh jabatan itu sebelum ini.
Bagaimanapun, dia telah dinafikan bertemu anak-anaknya, kecuali selama sejam pada hari Rabu, dengan alasan disebabkan sekatan Covid-19.